“Bersangka baik kepada Allah ketika mengurus konflik maka ia menjadi ibadah berpahala.”
Kumpulan penunggang motosikal berkuasa besar Harley Davidson di Amerika Syarikat adalah kumpulan yang digambarkan sebagai satu puak yang terasing dalam masyarakatnya sendiri.
Mereka wujud atas dasar anti kapitalisme yang mementingkan budaya korporat, hartanah, gaya hidup berstatus yang menjadikan masyarakatnya saling berkejar-kejaran dalam menunjukkan siapa yang lebih banyak wang dan lebih tinggi status hidup mereka.
Kemunculan kumpulan penunggang ini sama seperti timbulnya kumpulan Hippies yang sentiasa melaungkan moto Peace No War.
Tetapi di Amerika, baik kumpulan Harley mahupun Hippies mengalami serangan-serangan terbuka dari dalam dan luar. Mereka dilihat sebagai anti sosial, kaum Barbar, ganas, penagih dan perompak dari kaca mata Hollywood. Meskipun ada yang berlaku sedemikian, tetapi ia gambaran tidak adil seolah-olah 100 peratus berkeadaan sedemikian. Realitinya, mereka adalah ancaman kepada dasar kapitalis yang hidup di bumi Uncle Sam.
Menyertai kumpulan Harley Davidson bukanlah aktiviti semurah yang disangka. Motosikalnya sahaja mencecah puluhan hingga ratusan ribu ringgit. Mereka memilih motosikal Harley Davidson kerana reka bentuk besinya yang mempamerkan sisi kelakian mereka.
Dengan mengikat bandana di kepala, membawa sebilah pisau ala Rambo dan membela jambang, mereka berkonvoi dari satu tempat ke satu tempat yang lain. Ada waktunya mereka digelar sebagai golongan enviromentalist iaitu kumpulan yang memelihara dan mencintai alam.
Kehidupan mereka mementingkan kekuatan fizikal. Jika berlaku perselisihan, pistol bukanlah penyelesaian meskipun ia mudah didapati. Badan yang dicomoti minyak gris adalah perkara biasa buat mereka.
Kebanyakan mereka datang dari keluarga kapitalis yang kaya-raya yang sudah tidak mementingkan keluarga. Gaya kehidupan kumpulan Harley meniru cara hidup dan gaya berpakaian puak Red Indian dengan menjadikan jaket kulit, alas tempat duduk dari kulit haiwan dan bulu sebagai perhiasan motosikal masing-masing.
Mereka mempunyai tempat berkumpulnya sendiri. Ia pernah mencecah ratusan ribu orang penunggang apabila berkumpul. Pernah satu kumpulan dakwah menghampiri kumpulan ini ketika hari perhimpunan mereka setiap tahun.
Di tempat inilah, segala perkara haram menjadi halal. Kumpulan dakwah ini diketuai seorang pensyarah yang menjalankan misi ini bersama rakan-rakannya dengan menyewa motosikal Harley Davidson.
Sudah menjadi perkara biasa apabila kumpulan pendakwah ini menjadi sindiran di kalangan mereka. Itu dilihat ringan oleh kumpulan pendakwah berjubah dan berserban ini yang terdiri daripada wajah Barat dan Arab di kalangan mereka bertiga.
Tetapi keganjilan mereka memudahkan mereka didekati dan dijadikan medium perbualan. Pakaian mereka menjadi medium dakwah dan pemula bicara meskipun ada waktunya ia bermula dengan provokasi dan jenaka. Namun hidayah Allah masuk ke dalam hati seorang dua daripada mereka. Hingga kini, ada beberapa daripada ahli kumpulan penunggang motosikal ini kembali kepada Islam.
Salah seorangnya berkahwin dengan dua orang wanita Filipina. Apabila kumpulan pendakwah menemui mereka yang sudah bergelar Muslim, ada yang menunjukkan tatu yang penuh di tangan mereka dan berkata, “Inilah kesan kejahilanku. Jika tidak kerana ia mencacatkan kulit, sudah lama aku membuangnya.” Namun kegemaran mereka pada motosikal Harley Davidson masih sama.
Ketika kumpulan pendakwah ini mahu meninggalkan kawasan itu, mereka terdengar suara wanita memanggilnya.
“Hey are you Mosleem?”
Kumpulan pendakwah yang menuju ke motosikal masing-masing berpaling. Seorang gadis tanpa pakaian sedang memanggil mereka dari belakang. Wajahnya kelihatan sugul dan benar-benar meminta pertolongan. Mereka menundukkan wajah daripada melihat susuk tubuh gadis itu.
“I don’t know who you are. But please let me out from this hell. If you think that I will be in the hell after this, let me tell you i’ve been there 15 years ago…,” katanya dengan solekan yang semakin luntur kerana air mata. Tempat itulah nerakanya sejak 15 tahun yang sentiasa menginginkan tubuhnya.
Para pendakwah saling berpandangan. Salah seorang daripada mereka dengan segera menghampirinya dan membalutnya dengan kain tebal yang dibawa bersama dalam ekspedisi mereka.
Para pendakwah mencari-cari jalan keluar daripada situasi yang berlaku secara tiba-tiba ini. Apa yang perlu mereka lakukan?
Mereka mempunyai pilihan sama ada membawa gadis ini bersama ataupun membiarkan gadis itu di situ. Tetapi keutamaan membawa gadis itu keluar dari tempat itu menjadi pilihan pertama.
Apa yang terjadi dengan gadis ini selepas itu?
Menurut cerita, kini dia berkahwin dengan seorang Muslim warganegara Afghanistan. Gadis ini menjadi seorang Muslim dan menetap di sana. Berbeza daripada keadaan gadis ini ditemui oleh ketiga-tiga pendakwah sebelum ini, kini beliau menutupi tubuhnya dengan pakaian tradisional burqa. Apa lebih penting lagi adalah kata-katanya, “Apa yang ada hari ini lebih menggembirakanku.”
Cerita ini disampaikan secara lisan kepada penulis pada tahun 2005 oleh salah seorang pendakwah yang terbabit dalam pengalaman unik ini. Apa yang dihadapi oleh ketiga-tiga pendakwah ini mengajar lima situasi dalam konflik yang wujud apabila berhadapan dengan keadaan ini.
Pertama, Konflik Berlaku dalam Kejutan
Tidak semua konflik dapat dijangka. Ia ada kalanya berlaku secara tiba-tiba. Ada kalanya ia sesuatu yang tidak pernah terfikir akan berlaku dan luar daripada pengalaman biasa individu terbabit. Ia berlaku apabila kita berasa segalanya dalam keadaan normal dan biasa. Apabila berlakunya konflik secara tiba-tiba, individu terbabit perlu segera mengadaptasi diri segera bagi mengurus konflik itu.
Kedua, Konflik Sering Berkait Rapat dengan Kuasa Pilihan
Mengurus konflik yang berlaku memberi kita kuasa membuat pilihan. Para pendakwah tadi mempunyai kuasa pilihan sama ada mahu membantu gadis terbabit ataupun bersikap tidak endah dengan permintaan itu. Sama juga keadaan yang dilalui oleh gadis dalam cerita tadi. Konflik jiwa yang dihadapi gadis terbabit mendorong beliau memilih sama ada mahu terus berada di situ ataupun nekad memohon pertolongan para pendakwah itu.
Ketiga, Konflik Perlukan Keputusan Segera
Ada konflik yang menuntut supaya ia diselesaikan secara berperingkat. Ada pula yang menuntut ia diselesaikan seberapa segera. Dalam cerita yang disampaikan menunjukkan ada juga keadaan yang mendesak supaya konflik diurus kurang daripada sejam. Satu keputusan perlu dibuat seberapa segera.
Keempat, Konflik Orang Lain Memberi Kesan kepada Kita
Konflik orang lain memberi kesan kepada diri kita. Apa yang dilalui oleh gadis yang berhadapan dengan konflik asalnya berlaku pada satu pihak sahaja. Kemudian gadis itu memerlukan campur tangan ketiga-tiga pendakwah itu tadi bagi membantunya.
Campur tangan bagi mengurus konflik pihak kedua ada kalanya menjadi pintu penyelesaian yang dicari-cari. Disebabkan memendam konflik secara sendirian begitu lama, maka tidak banyak alternatif yang dapat dicari. Apa yang ditunggu adalah pintu peluang yang datang secara tiba-tiba.
Apa yang dilakukan oleh gadis dalam cerita ini adalah beliau memilih supaya keluar daripada situasi terlebih dahulu, kemudian barulah memikirkan bagaimana mahu mengurus hidupnya kembali. Ketiga-tiga pendakwah tadi adalah pintu keluar kepada situasi yang dihadapi ketika itu.
Kelima, Konflik Dorong Sikap Sangka Baik kepada Tuhan
Tidak ada sesiapa di antara individu dalam cerita tadi tahu pengakhiran pilihan mereka. Tetapi mereka berkongsi sikap yang sama apabila mengurus konflik si gadis. Persamaan itu adalah mereka bersangka baik kepada Allah.
Mereka meletakkan harapan kepada Tuhan supaya kuasa pilihan yang diguna bagi mencari jalan keluar konflik gadis itu membawa kepada keadaan yang lebih baik. Sikap positif mereka kepada Allah apabila mengurus konflik dapat dilihat melalui kuasa pilihan yang dimiliki tidak menjadikan mereka melarikan diri daripada situasi yang dihadapi.
Bersangka baik kepada Allah ketika mengurus konflik menjadikan ia suatu ibadah. Jika konflik itu dilihat sebagai ujian, maka ketiga-tiga pendakwah melalui ujian itu dengan memberi kemudahan kepada orang lain mencari kehidupan yang lebih baik.
Aussie slots best online pokies the best online casinos.