Category Archives: Kepimpinan

Menghargai Orang Lain

euro 2008 Portugal

“Encik Fadzli, saya ada satu soalan untuk menghangatkan lagi suasana perbincangan kita.” Ketua Pengarah TPPT Berhad tersebut berdiri sambil mengangkat tangannya.

Seluruh mata dalam dewan seminar tersebut memandang ke arahnya. Saya menjadi pembantu Tuan Fadzli Yusof pada petang tersebut di Selesa Hill Homes, Bukit Tinggi. Perbincangan pada petang itu mengenai team building.

Peserta yang terdiri daripada staf-staf TPPT Berhad berjumlah seramai 80 orang. Sebuah syarikat yang menguruskan projek-projek perumahan.

Ketua Pengarah tersebut menyambung, “Mengapa dalam permainan bola sepak seperti yang dianjurkan kami semalam, setiap peserta berusaha bersama-sama dan bersungguh-sungguh untuk mendapatkan kemenangan. Tetapi apabila pulang ke pejabat sahaja, semangat kerjasama tersebut hilang macam itu sahaja.”

Saya tersenyum mendengar soalan tersebut sambil menanti cara-cara Fadzli Yusof mengendalikan soalan tersebut. Saya ibarat bekerja sambil belajar. Belajar untuk menjadi trainer yang baik.

“Ok. Satu soalan yang bagus. Ada sesiapa ingin berkongsi pandangan tentang perkara ini?” soal Fadzli Yusof kepada semua peserta yang hadir.

“Pada pendapat saya, dalam permainan bola sepak setiap orang mahukan kumpulannya menang. Tidak kisah siapa yang menjaringkan gol, mereka tetap akan mendapat kemenangan tersebut.” Seorang peserta memberikan pandangan.

“Ada pendapat yang lain lagi?”

“Mungkin saya boleh huraikan sedikit lagi pendapat kawan tadi. Dalam permainan bola, kita berkongsi matlamat yang sama. Jika kumpulan kita yang menang, maka reward akan dikongsikan bersama…” kata seorang lagi peserta.

Sebahagian peserta program

“Ya, teruskan.”

“Tapi apabila masuk dalam konteks bekerja di pejabat, kita tidak nampak reward yang akan dikongsi bersama. Jika jualan rumah meningkat, maka unit bahagian jualan sahajalah yang mendapat untung. Tetapi kami di unit-unit lain yang turut bekerja, hanya menerima gaji bulanan macam biasa. Seolah-olah kami ini tidak menyumbang apa-apa dalam kejayaan tersebut.” ujarnya.

Mengharapkan penghargaan

Saya berfikir sendirian. Perkara sebegini turut berlaku dalam apa-apa institusi, persatuan mahu pun kumpulan dakwah.

“Ah! Kalau aku buat kerja, dia yang kena puji. Dia juga yang dinaikkan pangkat.”

Memang secara kasarnya kita melihat pekerja atau kawan tersebutlah yang bermasalah. Kadang kita mengatakan yang pekerja atau kawan tersebut buat kerja tidak ikhlas – Mengharapkan penghargaan.

“Dalam kerja dakwah pun nak berkira jugakah?”

Sebenarnya inilah yang perlu diberi perhatian oleh pemimpin (leader). Ini bukan isu berkira atau tidak. Orang yang berusaha bersungguh-sungguh merupakan tulang belakang kepada sesebuah organisasi dan semestinya mereka harus diberi penghargaan.

Jika tidak, mereka tidak nampak apa sebabnya kerja tersebut perlu dilakukan dengan bersungguh-sungguh. Mungkin inilah yang menyebabkan sesuatu team-work gagal mencapai hasil yang diharapkan.

Menyiapkan sesebuah kerja yang diberi menjadikan anda seorang yang berjaya. Menyiapkan sesebuah kerja melalui orang lain atau pekerja menjadikan anda seorang pemimpin. Tetapi melahirkan seorang pekerja yang bagus menjadikan anda seorang pemimpin yang terbaik.

Kenali setiap kemahuan orang bawah

“Bersikap tidak peduli terhadap keinginan orang lain bermaksud anda mengendahkan juga sumber utama keupayaannya.”-Walter Lippmann, Pengasas The New Republic-

Kemahuan atau keinginan merupakan perangsang kepada hasil kerja setiap orang. Jika mereka ada keinginan yang tinggi, maka hasil kerja mereka juga bertambah baik.

Oleh itu, jika kita dapat kenali keinginan setiap orang di bawah jagaan kita, kita dapat menghasilkan sesuatu kerja yang lebih baik. Bukan sahaja si dia mendapat apa yang dia inginkan, tetapi kita juga tetap dapat apa yang kita inginkan.

Permainan bermula

Mungkin kita tidak dapat mengenali setiap keinginan orang bawahan kita, cara yang terbaik adalah dengan menghargai setiap usaha mereka. Berikan penghargaan atas setiap usaha mereka.

Inilah yang saya lihat Ketua Pengarah TPPT Berhad itu cuba lakukan. Semasa sesi lain yang dikendalikan oleh Tuan Osman Affan, boleh dilihat rata-rata pekerja TPPT Berhad menyukai cara ketua mereka mentadbir. Penghargaan kepada pekerja beliau diberikan melalui pelbagai cara.

Kepimpinan Nabi Muhammad

“Setiap daripada kamu adalah pemimpin. Dan kelak kamu akan dipertanggungjawabkan atas setiap apa yang kamu pimpin.” –Nabi Muhammad SAW-

Kepimpinan dalam diri Nabi Muhammad telah dilatih sejak beliau kecil lagi. Sewaktu kecil, beliau menjadi pengembala kambing yang menguruskan ratusan kambing setiap hari. Kambing merupakan binatang yang banyak ragam. Salah kawalan mungkin menyebabkan kambing tersebut bertindak liar.

Beliau sangat tahu mana satu kambing yang sakit, mana satu kambing besar kepala dan mana satu kambing yang sedang berahi. Mengembala kambing merupakan salah satu alat bantu mengajar terbaik buat Nabi Muhammad.

Dari situ kepimpinan beliau dibentuk secara perlahan-lahan. Beliau mengenali para sahabat dengan begitu rapat. Beliau tahu mana sahabat yang boleh dilantik sebagai ketua atau pemimpin, mana sahabat yang boleh memimpin angkatan tentera, mana sahabat yang boleh menjadi perancang strategi dan mana sahabat yang boleh jadi motivator.

Nabi Muhammad juga memberi penghargaan kepada sahabat-sahabat beliau. Sama ada dalam bentuk pujian mahu pun benda.

Kesimpulan

Seperti kata Nabi Muhammad, setiap orang adalah pemimpin. Cuma kita yang perlu kenal pasti siapa orang yang perlu kita jaga dan perlu kita beri perhatian. Beri perhatian di sini bermaksud menilai kelebihan yang terdapat pada mereka dan memberikan penghargaan atas setiap kerja baik yang mereka lakukan.

Kita mungkin tidak dapat memuaskan hati banyak pihak tetapi cara yang paling mudah adalah menunjukkan penghargaan terhadap setiap usaha mereka.

Baca juga entri ini:

Kursus Motivasi Kecemerlangan Jati Diri TPPT Berhad

Berapa Banyak Anda Sanggup Invest Pada Orang Lain

invest

Anda mungkin boleh bina sebuah rumah yang besar, tetapi akhirnya ia boleh repas(usang) juga. Anda mungkin boleh bina karier yang baik, tetapi lama-lama karier tersebut akan berakhir juga. Anda mungkin sihat hari ini, tetapi belum tentu esok-esok masih sihat lagi.

Ramai orang invest dalam perkara-perkara sebegini, tetapi yang pasti semuanya bersifat sementara. Jadi, apakah perkara yang kita boleh invest yang boleh tahan lama? Inilah yang akan saya bincangkan dalam entri kali ini.

Pernah berlaku satu kerugian besar dalam salah satu syarikat komputer terbesar, DELL. Kerugian tersebut berlaku kerana berlaku kesilapan seorang stafnya dalam membuat satu keputusan yang melibatkan risiko yang cukup tinggi. Dell terus memanggil pekerja tersebut ke biliknya.

Dengan perasaan takut untuk dibuang kerja, pekerja tersebut melangkah masuk ke bilik Dell. Tetapi apa yang berlaku sebaliknya. Dell tidak membuang pekerja tersebut.

“Kenapa perlu saya pecat kamu sedangkan saya telah melaburkan berjuta wang untuk memberikan satu pengalaman kegagalan kepada seorang pekerja.”

Kisah lain

Ainon Mohd, Pemilik Syarikat Penerbitan PTS, ada mengatakan salah satu pelaburan yang dibuat PTS adalah mengadakan bengkel-bengkel penulisan secara percuma. PTS melaburkan sekitar 50 ribu setahun untuk bengkel penulisan tersebut.

Kadang yang datang ke bengkelnya pun ada yang ingin belajar untuk membuka syarikat penerbitan lain. Biarpun orang yang datang menyertai bengkel tersebut tidak menulis buku untuk syarikatnya, pelaburan yang tinggi itu membawa pulangan (ROI – return-of-investment) yang tinggi kepada PTS.

Melalui pelaburan ini PTS memperoleh bakat-bakat penulis muda yang terbaik! PTS juga memperoleh bakat-bakat baru yang layak diambil sebagai staf editorial PTS dari waktu ke waktu. Malah anda sendiri boleh lihat keuntungan lain yang PTS perolehi.

Apa yang mereka dapat?

Syarikat-syarikat pembuatan di Jepun memberikan kursus-kursus percuma kepada pembekal komponen produk-produk yang mereka keluarkan bagi memastikan komponen yang dibekalkan menepati spesifikasi.

Mereka menginginkan kualiti yang terbaik diterima oleh pelanggan. Jika di bahagian production sahaja yang baik, tetapi di bahagian jualannya sangat mengecewakan orang mungkin syarikat tersebut yang akan mendapat nama buruk.

Pulangan yang anda dapat bergantung kepada apa yang anda invest.

Dari konteks Islam

Islam pun turut mengajar tentang konsep pelaburan seperti ini. Apabila seorang muslim itu mati, salah satu perkara yang boleh memberikan pulangan(pahala) kepadanya adalah ilmu yang diajarkan dan diwarisi oleh orang lain.

Ilmu yang anda invest itulah yang akan memberi pulangan kepada anda nanti.

Hurm. Semakin banyak anak anda, maka itu adalah satu pelaburan besar untuk anda. Sama ada ia menjadi satu pelaburan yang baik(anak menjadi soleh) atau menjadi satu pelaburan yang buruk(anak banyak buat benda haram).

Samalah seperti dunia pelaburan lain. Anda sendiri yang perlu jaga pelaburan anda tersebut. Salah jaga atau main biarkan sahaja, buruk padahnya.

Teringat kata-kata seorang jutawan dalam sebuah bengkel keusahawanan yang disponsor olehnya.

“Bengkel ini bukan percuma. Saya tetap dapat sesuatu daripadanya. Tiada benda yang percuma di dunia ini. Semuanya berbayar.”

Azree Hanifiah

11 Februari 2008

Johor Bahru.

Memanfaatkan Kepakaran

teamwork

Pernah satu ketika saya diminta untuk menjadi Program Manager untuk satu program besar di UIAM. Saya yang kebiasaannya hanya menjadi Ketua Biro sahaja berfikir banyak kali sebelum menerima jawatan tersebut.

Bukan apa, satu lagi yang saya boleh buat adalah saya boleh memilih sesiapa sahaja untuk menjadi Ketua Biro dan untuk menjadi ahli jawatankuasa. Memang saya rasa betul-betul berkuasa masa itu. Huhu.

“Macam belum layak je aku jadi Program Manager.” Kata saya cuba menduga sama ada dia memang betul-betul ingin memilih saya atau masih ada calon yang lain.

“Kalau kau tak jadi hari ini, nanti akan datang kalau ada orang minta kau jadi Program Manager alasan ini juga kau akan bagi.”

Nampaknya mahu tak mahu memang saya kena pikul tanggungjawab itu. Saya perlu memilih cepat-cepat angkatan perang saya sebagai Setiausaha, Bendahari dan Ketua Biro. Penolong saya yang lain sudah disediakan oleh pihak atasan.

Dan proses memilih inilah yang saya rasakan sedikit berat. Ini adalah proses yang paling penting yang pertama untuk memastikan semua orang boleh bekerja. Saya memilih dari segi kepakaran atau dari pandangan saya sendiri sama ada dia betul-betul melakukan kerja tersebut atau tidak.

Sama fikrah Vs kepakarannya

Ada juga rakan saya yang memilih berdasarkan si dia itu sama fikrah(selari atau sekonco) dengannya. Jadi, orang luar yang ada kepakaran tetapi tidak sama fikrah dengannya ditolak jauh-jauh.

Islam adalah agama yang memanfaatkan kepakaran dan kebolehan seseorang manusia itu. Ini ditunjukkan sendiri oleh Nabi Muhammad dalam membentuk pasukan beliau. Kepakaran daripada orang yang tidak sama fikrah(selari) dengan kita, janganlah ditolak tepi begitu sahaja. Kalau boleh, ajak mereka bersama kita dan gunakan kepakarannya sebaik mungkin.

Kita lihat bagaimana Umar bin al-Khattab yang begitu memusuhi Islam semasa jahiliahnya, tidak ditolak tepi oleh Nabi Muhammad. Malah Nabi Muhammad mendoakan agar dia memeluk Islam dan seterusnya kepakarannya dapat digunakan apabila beliau menganut Islam. Keberanian dan ketangkasan Umar itu disusun dan diatur agar bersesuaian dengan prinsip-prinsip Islam yang menguntungkan umat Islam.

Saya pernah bertemu beberapa orang professional bukan dalam bidang pengajian Islam, apabila timbul kesedaran Islam dalam diri mereka, merekalah yang menjadi penggerak kepada program-program untuk menaikkan nama Islam. Malah merekalah yang paling bersemangat bila buat satu-satu kerja yang diberikan.

“Bolehkah mereka terima cara bekerja kita? Nanti takut-takut mereka jadi pemberontak dan mengatakan idea kita untuk program itu jumud.” Soal rakan saya yang pilih berdasarkan sama fikrah.

Sudah cuba atau belum? Kalau kita menyempitkan akal dengan menerima pendapat orang yang dekat-dekat dengan kita sahaja, bukankah itu lebih jumud? Lebih baik menerima pendapat orang luar. Mana tahu pendapatnya itu dapat menarik orang dari golongannya juga turut serta dalam program tersebut.

Banyak juga program yang yang dianjurkan oleh rakan-rakan atas nama dakwah. Ada juga yang sambutannya menggalakkan tetapi yang saya lihat muka yang sama juga pergi program tersebut. Bertudung labuh dan berkopiah. Paling tidak pun berbaju Melayu.

Tetapi dalam memilih pendapat orang luar juga perlu diambil kira beberapa perkara. Selagi ia tidak bertentangan dengan syariat Islam, selagi pendapatnya tidak melanggar mana-mana batas, selagi itulah kita perlu cuba untuk menerimanya walau kita rasakan pelik. Apa yang peliknya adalah kerana kita tidak pernah melakukan perkara tersebut tidak semestinya ia salah.

Belajar daripada Naruto

shikamaruDalam manga Naruto ada satu watak bernama Shikamaru yang mampu membuat perancangan dengan menggunakan segala apa yang dia ada. Dalam setiap operasi yang diketuainya, sekalipun ada orang daripada kumpulan lain dimasukkan dalam kumpulannya, dia akan menggunakan kepakaran orang tersebut dalam perancangannya.

Pernah dalam satu saat genting, tiba-tiba Naruto datang mahu membantu. Walaupun pada ketika itu Shikamaru tidaklah menyukai Naruto, tetapi dia tetap tidak mensiakan kepakaran Naruto dan merancang sesuatu yang baru.

Inilah yang saya cuba buat, saya perhatikan setiap calon-calon yang boleh saya lantik sebagai Ketua Biro dari segi kepakarannya dan komitmennya. Ada orang komitmennya tinggi tetapi kepakarannya perlu dilihat dalam bidang yang sesuai.

naruto team

Ada orang pakar dalam banyak bidang tapi komitmennya rendah. Tetapi hal yang ini saya tolak tepi sebab dari sudut komitmen itu saya selaku Program Manager ada cara tersendiri untuk mengatasi perkara tersebut.

Jangan taksub dengan kumpulan(jemaah) sendiri

“Seseorang yang berperang untuk mendapatkan harta rampasan, seseorang yang berperang agar dipuji dan seseorang yang berperang untuk memperlihatkan kehebatannya, siapakah di antara mereka yang berada di jalan Allah?” Rasulullah s.a.w menjawab, “Sesiapa yang berperang untuk meninggikan kalimah Allah (tertegak), maka dia berada di jalan Allah.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Tidak kiralah mereka itu siapa atau bukan daripada jemaah kita, kalau objektif dan misinya sama apa salahnya kita turut menyokong usaha mereka. Mungkin kerana tidak mahu menerima cara orang lain menjadikan kita begitu taksub dengan jemaah sendiri.

Sampai ada beberapa ketika berlaku kutuk-mengutuk, fitnah memfitnah. Yang si dia dalam jemaah B mengatakan jemaah A ini salah. Dan si B pula mengatakan cara jemaah A salah. Kutuk-mengutuk berlaku dan hasilnya tiada. Orang luar yang memandangnya berasa ‘Inikah Islam yang ingin dibawa?’.

Dan saya sekadar memandangnya dari luar dan menulisnya supaya perkara ini dapat difikirkan bersama. Tiada sesiapa yang untung jika mahu meninggi-ninggikan pihak sendiri sahaja. Kepakaran perlu dimanfaatkan bukan dimandulkan. Dan Alhamdulillah program yang saya buat itu berjalan dengan lancar.

Mulakan niat dengan baik dan belajar daripada Nabi Muhammad.

.

Azree Hanifiah

6 Disember 2007

UIAM, Gombak

Belajar Daripada Bawah

“Saya daripada sekolah dulu belum pernah memegang apa-apa jawatan. Tapi saya memang yakin saya boleh buat kerja dengan baik.” Kata seorang pelajar yang sedang ditemuduga oleh saya untuk satu jawatan mainboard Engineus(Engineering Society).

“Adakah kerana populariti atau ingin menjadi terkenal bila dapat menjadi mainboard pada first year lagi?” Saya sengaja memberi soalan sebegitu.

“Bukan. Saya betul-betul mahu belajar cara-cara hendak manage sesuatu program dan cara-cara hendak menguruskan sesuatu meeting umpamanya. Dan saya rasakan jawatan ini memang dapat memberikan saya pengalaman seperti itu.” Jawabnya penuh yakin.

Dari segi gaya bercakapnya, memang menunjukkan yang dia betul-betul berminat memegang jawatan dalam mainboard. Mencari pengalaman baru katanya. Tetapi kemudian saya berikan dia jawatan sebagai ahli jawatankuasa biasa di dalam sebuah biro.

Bukan saya menidakkan keupayaannya untuk memegang jawatan tinggi tetapi biarlah dia merasa dulu bekerja daripada bawah. Saya sendiri hanyalah seorang AJK biasa-biasa sahaja sebelum diserap masuk terus ke dalam mainboard. Dan saya rasakan pengalaman menjadi AJK biasa itulah yang paling berguna yang membolehkan saya belajar lebih banyak perkara.

Hendak memimpin atau hendak buka bisnes sendiri perlu kita belajar selok-beloknya terlebih dahulu. Perlu ada mentor atau orang yang kita jadikan idola yang baik untuk kita ikuti dan contohi.

Apa yang perlu dibuat sebagai orang bawah

mahatma gandhiMemimpin tidak semestinya perlu berada di kedudukan paling atas. Jika kita seorang ahli biasa pun kita masih boleh memimpin. Apabila kita berada di kedudukan bawah, kita belajar dengan cara memperhatikan cara pimpinan ketika itu memimpin. Apa yang baik kita ambil dan apa yang silap kita cuba cari penyelesaian lain.

Konsepnya sama dengan hubungan antara imam dan makmum. Jika imam melakukan kesilapan, makmum berhak membetulkan.

Waktu menjadi orang bawah itu juga perlu kita cuba merapatkan diri dengan AJK lain. Wujudkan hubungan dan suasana yang baik. Salah satu elemen yang penting di dalam pembentukan sebuah institusi ialah hubungan yang wujud di antara mereka. Andai baik hubungan yang terjalin tersebut maka kukuh dan kuatlah institusi tersebut.

Kalaulah jawatan atau pekerjaan yang kita dapat itu bukan yang kita harapkan, tidak perlulah rasa rendah diri. Belajar memimpin daripada bawah itu lebih seronok daripada terus berjawatan tinggi.

Dan sewaktu menjadi orang bawah inilah kita perlu cari model atau mentor yang boleh mengajar kita menjadi pemimpin yang betul.

Contoh daripada Nabi Muhammad

Nabi Muhammad sendiri belajar memimpin daripada peringkat paling bawah sekali. Daripada belajar mengusahakan ternakan kambing sewaktu beliau berusaha 8 tahun. Tentu bukan mudah untuk menjaga kambing yang perangainya macam-macam.

Kemudian menjadi assistant manager unit jualan pula pada usia 12 tahun semasa mengikuti ayah saudaranya berniaga. Lantas barulah beliau menjadi seorang manager semasa bisnesnya sudah berada di tahap internasional pada usia 20 an.

Sedari kecil sudah belajar bertanggungjawab dan kemudian berjaya menguruskan bisnes sendiri dengan baik.

Berniaga juga perlu belajar dahulu

“Aku macam dah kurang keyakinan hendak buat bisnes la bila dah bekerja ni.” Kata seorang kawan pada suatu petang.

Dia menyambung, “Kalau dulu minat nak buka bisnes meluap-luap. Sampaikan hampir semua jenis bisnes aku cuba. Tapi bila dah start kerja bawah orang macam ini, rasa nak berhenti kerja itu hilang. Rasa nak buka bisnes dah macam tak ada pula.”

Saya teringat satu perkara yang ditekankan oleh Robert T. Kiyosaki dalam buku Rich Dad Poor Dad, “Work to learn, don’t work for money.

Dia juga menyarankan supaya kita belajar dahulu selok-belok berniaga daripada bawah. Tetapi kita perlu tetapkan dahulu dalam minda kita yang kita bekerja bawah orang lain itu adalah untuk mengambil pengalaman, cara gerak kerja, dan cara menguruskan kerja syarikat tersebut.

Semakin banyak pengalaman yang ditimba dan semakin banyak model bisnes terbaik yang kita ketahui, maka semakin baiklah strategi kita untuk memulakan bisnes sendiri.

Saya juga masih bertatih belajar. Bertemu dengan orang yang tidak dikenali untuk berbincang, kadang saya menawarkan diri untuk menemani kawan yang akan bertemu dengan orang penting dan kadang saya ikut kawan saya berniaga di booth.

———————————————————————

Blog ini sedang menyertai cabaran SM Learning, penganjur kelas-kelas, bengkel dan seminar yang boleh membantu kehidupan anda.

Sila ke laman web SM Learning di http://www.smlearning.net untuk maklumat lanjut.

Tag: Mahu Belajar Sampai Mati

Pertandingan Debat, Adakah Satu Keperluan?

“Ini adalah diskriminasi kepada pelajar luar negara!” Bergema seisi dewan.

Seorang pelajar lelaki dan seorang pelajar perempuan daripada luar negara cuba berdebat kerana sedikit salah faham. Salah faham yang ditimbulkan sendiri oleh mereka. Sesi orientasi bersama salah satu jabatan di UIAM pada petang itu sedikit hambar bagi saya.

Ini adalah kerana isu kenapa mereka tidak dapat mendaftar lagi subjek-subjek yang ingin mereka ambil kerana terpaksa menunggu keputusan English Placement Test(EPT) dan Arabic Placement Test(APT). Sedangkan kata mereka pelajar-pelajar Malaysia sudah boleh mendaftarkan subjek-subjek yang perlu diambil.

Perkara yang sebenarnya adalah bukan pelajar luar negara sahaja yang tidak boleh mendaftar subjek lagi tetapi juga pelajar Malaysia yang bukan daripada Matrikulasi UIAM kerana perlu menunggu keputusan EPT dan EPT terlebih dahulu.

Teringat pula saya kepada beberapa pertandingan debat yang pernah saya hadiri suatu masa dahulu. Walaupun saya bukanlah seorang debator sekolah tetapi cikgu sentiasa mengajak saya ke sesi latihan debat. Tugas saya adalah untuk memberi komen kepada setiap debator sekolah selepas sesi latihan.

Keburukan dalam berdebat

Terlalu banyak kekurangan dalam perdebatan dan pada saat ini semasa saya menuntut di universiti, saya mula sedar akan keburukan berdebat ataupun berbahas. Bagi saya berdebat tidak akan menguntungkan mana-mana pihak.

Apa yang ada hanyalah satu pihak kalah dan satu pihak lagi akan bersorak menang. Tetapi isu yang diperdebatkan hanya akan tinggal sebagai isu dan tidak akan dibincangkan lagi oleh mana-mana pihak yang bertanding.

Hal ini berbeza dengan jika kita menyelesaikan sesuatu isu dengan cara ‘perbincangan’ bukannya ‘perdebatan’. Melalui perbincangan tidak akan ada konsep siapa menang dan siapa kalah. Idea yang bagus akan dipertimbangkan dan selagi boleh ditambah baikkan idea tersebut, ia lebih bagus.

Dalam berdebat pula, pihak yang lebih pandai mengeluarkan hujah akan menang manakala pihak yang satu lagi terpaksa mengakur keputusan tersebut. Itu kalau dalam pertandingan, kalau berlaku seperti kejadian yang saya sebutkan di atas tentu keadaan akan menjadi lebih kelam-kabut.

Lebih baik bawa berbincang

Melalui perbincangan, tidak akan ada pihak yang suaranya serak-serak selepas sesi perbincangan kerana yang pasti tidak perlu menjerit semasa berbincang. Orang biasa yang tidak bersuara lantang pun boleh menggunakan cara ini – berbincang.

Dalam perbincangan jika tiada kata sepakat dalam sesuatu isu, ia akan cuba ditangguhkan dahulu sehingga semua ahli dapat memikirkan apa yang patut dan apa yang tidak patut. Ini bukanlah cuba melambat-lambatkan proses menyelesaikan sesuatu isu ataupun masalah tetapi supaya langkah yang diambil adalah langkah yang paling optimum dan paling efektif.

Dalam berdebat pula, isu tersebut akan cuba diselesaikan secepat mungkin. Memang kadang-kadang perdebatan juga ada yang ditangguh, tetapi orang-orang yang telah letih berdebat pulang ke rumah dalam keadaan marah-marah, sakit kepala dan sebagainya. Akibatnya tidak buat ‘homework‘ semula tentang isu tersebut.

Pilihlah mana satu yang anda suka, debat atau perbincangan?

Sebenarnya banyak lagi keburukan berdebat atau berbahas. Cuma fikir-fikirkan sendiri. Bagi saya lebih baik gunakan cara perbincangan dalam menyelesaikan sesuatu isu. Tiada baiknya berdebat. Kalaulah saya menjadi bos sesuatu syarikat, saya tidak akan ambil pekerja yang tahu berdebat. Takut-takut nanti dia akan menggunakan ilmu berdebat dia itu terhadap saya.

Debate is not good, discussion is the only solution

Hendak diteruskan cerita yang tergantung di atas, akhirnya pelajar luar negara itu diminta untuk berhenti berbahas dan dibawa berbincang. Dan saya memang agak tertarik dengan cara Pengarah Minggu Orientasi itu mengawal keadaan. Dengan nada suara yang berlembut, dia dapat mengawal keadaan menjadi lebih baik.

Saranan saya

Kalau anda ingin meningkatkan daya komunikasi anda, saya sarankan masuklah pertandingan forum ataupun public speaking. Itu lebih bagus daripada berdebat. Apalah yang perlu dibanggakan sangat jika anak anda pandai berdebat?

P/s: Dan artikel ini terbuka kepada sebarang perbincangan.

KJ Method

Masih terngiang-ngiang lagi dalam kepala saya tentang cita-cita saya sewaktu kecil dahulu. Selalu benar berubah-ubah.

Kejap ingin menjadi ahli bomba, tahun depannya bertukar ingin menjadi ustaz pula, tahun satu lagi pula bertukar ingin menjadi polis dan begitulah seterusnya. Rasanya setiap tahun pasti tukar satu cita-cita baru.

Sehinggalah sekarang saya menjadi seorang yang suka buat banyak benda. Ramai beranggapan, “Kalau buat banyak kerja dalam satu masa, mestilah kurang fokus terhadap setiap satunya.”

Betulkah begitu?

Ada satu kajian yang dibuat di Amerika, lebih sedikit kemalangan yang berlaku disebabkan pemandu yang memandu kereta lebih laju berbanding pemandu yang memandu keretanya perlahan.

Mendengar kenyataan ini membuatkan saya berfikir panjang. Tetapi memang betul apabila saya memandu kereta dengan lebih laju membuatkan saya lebih fokus terhadap selok-belok di jalan raya. Apabila memandu kereta perlahan pula kadang-kadang membuatkan mata saya sedikit letih. Mengantuk mungkin.

Samalah juga apabila kita membuat banyak kerja dalam satu masa. Dan samalah juga apabila kita mempunyai banyak matlamat untuk dicapai.

Semakin banyak kerja kita, semakin itulah kita fokus terhadap setiap satunya. Tetapi, ia bergantung juga kepada cara kita menguruskan setiap kerja tersebut. Kerana itulah seorang bekas engineer di Jepun, Kawakita Jiro, menyarankan supaya kita, manusia, kembali kepada fitrah berfikir yang asal.

KJ Method

Beliau kemudiannya memperkenalkan KJ Method. Apa dia KJ Method? KJ Method adalah cara berfikir yang dianugerahkan Tuhan kepada manusia. Itulah fitrah cara berfikir manusian yang sebenarnya. Akan saya terangkan di bawah.

Cara berfikir yang diasuh di sekolah adalah linear logik. Sekolah mengajar kita melakukan sesuatu kerja secara tertib. Selagi langkah yang pertama tidak siap, jangan diteruskan dengan langkah yang kedua atau ketiga.

Contoh mudahnya, kalau tidak belajar bab pertama dalam Add Math, mana boleh melompat ke bab lain. Nasib baik dulu cikgu Add Math saya mengajar bab lain dahulu sebelum masuk bab yang awal. Katanya, lebih memudahkan untuk kami faham bab pertama. Dan pada tahun itu, kelas saya berjaya mengalahkan kelas pertama dalam jumlah pelajar yang lebih banyak mendapat A dalam Add Math.

Cara berfikir kita yang asal pula ialah non-linear logik. Maksudnya tidak mengikut urutan. Kalau langkah yang pertama masih belum siap, tidak mengapa. Lompat sahajalah kepada langkah-langkah yang seterusnya.

Contoh paling mudah kita boleh lihat cara ibu kita memasak di dapur. Cuba kira berapa jenis lauk yang dimasaknya dalam satu masa. Mana mungkin satu sahaja. Sekurang-kurangnya dua tiga jenis lauk serentak; Ikan masak merah satu, sayur kangkung satu, ayam masak gulai satu.

Itulah yang dipanggil berfikir secara non-linear. Bayangkan kalau ibu kita masak lauk ikut tertib. Katakan mula masak pukul 10 pagi, habisnya pukul 3 petang. Ish. Alamatnya anak-anak mati kelaparanlah.

Mungkin sebab inilah orang-orang perempuan zaman dahulu boleh menyiapkan banyak hidangan lauk-pauk dalam masa yang sekejap. Tetapi zaman sekarang, erm… nak cari yang boleh memasak dua lauk serentak pun payah. Hehe. Jangan marah.

Dan inilah juga salah satu rahsia kepimpinan Nabi Muhammad. Bagaimana beliau boleh membuat begitu banyak tugas-tugas yang berat dalam satu masa. Beliaulah seorang panglima perang, juga seorang pemimpin Negara, beliau juga seorang bisnesman, juga seorang ayah dan bermacam-macam lagilah jawatannya.

Secara kesimpulannya, tidak salah mempunyai matlamat yang banyak, tidak salah juga mempunyai banyak kerja. Tetapi semuanya bergantung kepada cara kita menguruskannya dengan baik.

Jadi Ketua Pilihan Ramai

Ini perkara pertama yang saya belajar dari Nabi Muhammad  iaitu pemimpin yang baik tidak akan mencadangkan diri sendiri untuk memegang sesuatu jawatan. Perkara ini selalu terjadi di universiti mahupun di sekolah.

Malah di dalam sektor politik negara pun terjadi perkara sebegini – seorang pemimpin ingin memegang banyak jawatan.

Mungkin ada yang mempertikaikan perkara ini dengan mengatakan, “Dah kalau orang yang dipilih itu memang tidak layak, lagilah teruk barisan pimpinan.”

Atau pernah juga saya dengar semasa saya mengikuti satu kem remaja yang majoriti bilangan pesertanya adalah dari golongan bermasalah, ada seorang kawan saya berkata begini, “Kalau tiada sesiapa antara kita yang bangun mencadangkan diri sendiri sebagai pemimpin memang teruklah kem kali ini.”

Ada baiknya dan ada kelemahannya.

Apabila saya membaca kisah-kisah Nabi Muhammad, rupanya memang ada hikmah sekiranya kita tidak mencadangkan diri sendiri untuk sesuatu jawatan, terutama jawatan sebagai seorang ketua.

Hayati kisah Nabi Muhammad

Seperti entri sebelum ini saya ada menceritakan kisah tentang peristiwa perletakan batu Hajar Aswad. Saya perhatikan di situ, tiada pula Nabi Muhammad mencadangkan dirinya sendiri menjadi ketua untuk mengadili golongan ketua-ketua itu. Malah, Nabi Muhammad juga berasa takut semasa kali pertama didatangi Jibrail.

Kelemahan jika kita selalu mencadangkan diri kita sendiri sebagai ketua bermula dengan perasaan dalaman kita iaitu kita berasa terlalu yakin yang diri kita lebih sempurna daripada orang di sekeliling. Jadi, ini akan menyebabkan kita jarang memikirkan kekurangan diri sendiri.

Jangan rasa diri sendiri lebih baik daripada orang lain

Jika kamu rasa diri kamu pandai, pasti ada orang lain yang lagi pandai daripada kamu. Jika kamu rasakan diri kamu kuat, pasti ada orang lain yang lebih kuat daripada kamu.

Seorang pemimpin yang baik adalah orang yang tidak merasakan dirinya adalah sempurna kerana jika ini terjadi, dia akan kurang yakin akan keberkesanan konsep bekerja secara berkumpulan. Apabila ini berlaku, dia akan berasa semua beban terletak pada dia seorang sahaja menyebabkannya tidak membahagikan tugas kepada orang lain(seperti saya katakan tadi, dia kurang yakin akan keberkesanan bekerja secara berkumpulan).

Apabila terlalu banyak kerja… erm.. faham-faham sahajalah, sudah tentu akan ada kerja yang terbengkalai. Kalau tidak terbengkalai pun, kurang kualitinya.

Nabi Muhammad adalah seorang yang yakin akan bekerja secara berkumpulan. Jadi, beliau membina teamwork. Eh! Ini sudah masuk rahsia kedua. Jadi, harap sudi meluangkan waktu lagi untuk membaca entri seterusnya.

Satu perkara lagi sebelum saya terlupa, ada kelemahan lain apabila kita berasa diri kita patut jadi ketua. Ini saya sendiri alami semasa berada dalam kem remaja yang majoriti pesertanya adalah remaja bermasalah. Kelemahannya adalah saya berasa diri ini terlalu baik, jadi memandang rendah kepada mereka. Ini membuatkan juga saya kurang bergaul dengan mereka sedangkan itulah yang perlu sebagai seorang pemimpin.