Category Archives: Ulasan Buku

Ainon Mohd. Mengupas Sepak Terajang Dunia Bisnes

Kebanyakan buku perniagaan yang banyak di pasaran ditulis oleh ahli- ahli akademik, ia berbentuk buku biografi dan autobiografi berkenaan tokoh usahawan yang berjaya dan buku motivasi keusahawanan ditulis oleh pakar motivasi.

Maka, buku- buku jenis ini hanya menyiarkan cerita- cerita positif berkaitan individu- individu yang telah berjaya dalam bisnes. Continue reading

365 Tip Sihat Gaya Muhammad bin Abdullah

Apalah guna harta yang melimpah ruah tetapi kita harus mengeluarkan belanja yang besar setiap bulan membayar bil hospital kerana masalah kesihatan? Bagaimana kita ingin mendapatkan badan yang sihat jika emosi dan jiwa sering terganggu dengan masalah keluarga dan kerja? Bagaimana untuk mendapatkan rohani yang tenang jika hubungan sosial bersama Tuhan dan manusia tidak dijaga? Continue reading

Buat Duit dengan Seminar

Dewasa ini, ramai rakyat Malaysia menyedari akan kepentingan ilmu pengetahuan. Ibu bapa sanggup mengikat perut asalkan anak- anak mendapat pendidikan yang sempurna. Individu pula tidak lokek untuk membeli buku- buku terbaru daripada pelbagai genre. Malah, mereka sanggup melaburkan duit bagi menghadiri kursus sama ada untuk menambahkan lagi ilmu di dada atau mengasah bakat serta kemahiran. Continue reading

Berpegang Pada Apa?

Kedua-dua buku ini saya baca sepanjang Jun-Julai. Sebuah di Malaysia dan sebuah lagi di UK.

1. Brisingr – Christopher Paolini (2008)

Ketebalan boleh mencecah 2000 mukasurat, kata penulisnya, Christopher Paolini ketika bercakap tentang penerbitan Brisingr. Itu jika dia mengikuti rancangan asalnya untuk menulis siri ini sebagai sebuah trilogi. Ketelitiannya dalam menulis setiap babak menyebabkan dia terpaksa memisahkan jilid ketiga ini kepada dua volum, menjadikan empat buku keseluruhannya dalam satu siri – The Inheritance Cycle, bukan Inheritance Trilogy lagi.

Meskipun begitu ketebalannya yang menghampiri 800 mukasurat ini sudah cukup melelahkan saya. Berhempas-pulas saya cuba menghabiskannya tahun lepas selama enam bulan, tetapi gagal; dan sepulangnya saya tahun ini untuk cuti musim panas, saya berjaya menghabisinya dari awal dalam masa kurang seminggu. Saya dapati, persoalan yang dikemukakan mulai jilid kedua siri ini sudah semakin berat dalam Brisingr. Isu apa? Relijus atau agama.

Teisme, Ateisme, Pluralisme

Dalam volum 2, Eldest, penulis membawa persoalan ketuhanan melalui pembelajaran intensif Eragon dengan kaum bunian (elf) di hutan Du Weldenvarden. Kaum ini tidak mempercayai wujudnya tuhan atau sebarang kuasa ghaib yang lebih berkuasa di dunia. Sebaliknya berlaku pada kaum orang kerdil (dwarf) dan makhluk raksasa yang dinamakan Urgal – mereka beraliran politeism. Setiap tuhan yang mereka ‘imani’ ada fungsi dan lagenda tersendiri.

Setelah mencetus fikir bertuhan—ada ataupun tidak—pembaca disuguh pula dengan fikir pluralisme dalam Brisingr. Lawatan Eragon ke kompleks kediaman orang kerdil untuk membantu pemilihan raja baru mereka (menggantikan raja yang telah mati dalam perang Burning Plains di dalam Eldest) menjadikan Eragon berfikir dengan lebih mendalam. Apakah Tuhan itu wujud? Jika wujud, agama ras mana yang harus dia percaya? Atau, adakah setiap kepercayaan ras itu mengandungi secebis kebenaran?

Faham pluralisme ini telah menular lama, dan sangat bersalahan dengan ajaran Islam. Faisal Tehrani pernah mengupas isu ini dalam bentuk fiksyen bertajuk Tuhan Manusia (2008). Apa yang dicadangkan golongan ini ialah, semua agama sama dan benar, kerana mereka menuju hakikat kebenaran yang sama yakni bertuhan.

Tambah mencelarukan, saat Eragon dan naga tunggangannya Saphira menghadapi angin kencang yang menghalang perjalanan mereka, Eragon lantas berdoa pada Guntera, salah satu dari dewa yang dipercayai orang kerdil. Itu merupakan titik akhir paling signifikan mengenai kepercayaan Eragon terhadap agama dan ketuhanan – tidak pasti di akhirnya, dia berpegang kepada apa (dalam siri ini setakat ini).

Brisingr merupakan kesinambungan kepada Eragon dan Eldest. Eragon merupakan seorang remaja kampung yang ditakdirkan bertemu seekor naga bernama Saphira. Sebagai penunggang naga mereka perlu menyelamatkan Alagaesia (dunia fiktif) dari cengkaman pemerintahan kuku besi Galbatorix. Brisingr atau tajuk lainnya The Seven Promises of Eragon Shadeslayer and Saphira Bjartskular, mengisahkan Eragon melunaskan janji-janjinya dalam prekuel sebelum ini; seperti merawat bayi yang telah disumpahnya secara tidak sengaja, memperbaiki Isidar Mithrim permata agung orang kerdil, selain membalas dendam untuk beberapa kematian orang penting dalam hidupnya.

Jilid keempat masih belum diumumkan tarikh penerbitannya. Tidak sabar juga menanti kesudahan siri ini.

**********

2. Nights of Rain and Stars – Maeve Binchy (2004)

Maeve Binchy merupakan seorang tukang cerita yang saya kira sangat baik. Sebabnya adalah penulisannya sangat natural, sangat fitrah sifatnya. Sekurang-kurangnya saya rasakan ini tepat dalam novelnya Night of Rain and Stars ini. Binchy bermain dengan perasaan dan emosi manusia yang acapkali menganggu daya fikir rasional manusia.

Kalau Paolini memperhalusi penceritaan aksi dan gambaran suasana dunia Alagaesia fiksinya itu, Binchy merincikan pula sudut mainan emosi. Manusia sering berprasangka dan berfikir menggunakan pertimbangan akalnya sendiri semata-mata, tanpa bergantung pada sumber lain langsung. Mereka fikir taakulan mereka adalah yang paling betul, dan tidak akan sekali-kali menerima teguran orang lain dalam hal yang kononnya mereka lebih arif. Sedangkan emosi sedang menipu mereka (atau lebih tepat syaitan yang bermain-main dengan memanipulasi emosi seseorang).

Pertimbangan Tanpa Panduan

Empat orang pelancong dari Negara dan latarbelakang berbeza menjadi kawan secara tidak sengaja setelah menyaksikan tragedi kebakaran sebuah kapal di pinggir pantai Greece. Pemilik kafe di tempat pertemuan mereka itulah yang menjadikan mereka kawan baik. Namun setiap satu dari mereka rupanya punya masalah keluarga.

David dari England menghadapi tekanan dari ayahnya yang memaksa dia mewarisi perniagaan ayahnya; Thomas dari Amerika pula bercerai dengan isterinya dan menjauhkan diri dari anaknya demi memberi ruang pada mereka berkeluarga dengan suami baru; Elsa dari German terperangkap dalam masalah cinta dengan pengurus syarikat televisyen tempat dia bekerja; manakala Fiona dikecam oleh ahli keluarga dan kawan-kawannya kerana mengambil keputusan untuk bersama dengan teman lelakinya Shane yang berperangai buruk. Semua ‘melarikan diri’ ke Greece demi mencari ketenangan masing-masing.

Tidak ada peristiwa ‘besar’ yang terjadi sepanjang hampir tiga ratus mukasurat novel ini. Namun saya tidak sabar menamatkannya kerana watak-watak tersebut berkembang pesat dalam masa yang singkat, atas bantuan seorang penduduk tempatan bernama Vonni.

Bagi seorang yang sensitif dan sangat moody seperti saya, tentunya saya terpengaruh dengan watak-watak ini, bersama fikiran dan emosi mereka. Tetapi satu yang berbeza, mereka memang terlalu berpegang pada emosi semata-mata, sedangkan saya punya agama yang mampu menjadi kayu ukur pertimbangan saya.

Fiona contohnya, menjadi buta kerana cinta. Jikalau dia sekurang-kurangnya mendengar nasihat orang lain dan tidak larut dalam emosi sendiri sahaja, dia tak akan menjadi mangsa penderaan Shane teman lelakinya. Keputusan Thomas untuk berpisah dengan anaknya yang disangkakannya dapat meberi ruang rupanya satu penderitaan buat anaknya yang terlalu inginkan ayah kandungnya itu dekat di sisi.

Saya juga tidak lepas dari serangan emosi. Mujur ada kawan yang mengingatkan, dan mujur saya tidak buta, sedar bahawa saya masih punya agama yang menunjuk jalan keluar – sekalipun saya rasakan pertimbangan akal lebih disukai, bukan bermakna itu yang terbaik. There is always two sides of a story, jadi kita mesti memberi ruang untuk ‘sisi kedua’ itu mengimbangi pemikiran kita.

Memilih untuk menulis watak yang realistik dengan masalah yang realistik, semestinya menjadikan pembaca lebih dekat dengan cerita, berbanding mempamer watak bersifat terlalu ideal yang tak dapat dikatikan dengan diri. Itu kelebihan novel ini. Tidak salah jika Binchy memutuskan untuk menulis sekuel untuk naskhah ini, dalam bentuk novelet mungkin – memperihalkan kisah lanjut mengenai empat sahabat ini yang masih boleh dikembangkan. Nasib Vonni yang tinggal di kepulauan Greece itu juga masih belum diketahui. Saya tidak kisah untuk membacanya lagi.

**********

Kedua-dua buku ini layak mendapat entri masing-masing tetapi saya rasakan tidak guna juga meleret-leret mengulas. Keselarian dua novel ini tercetus dalam benak saya malam semalam, memandangkan watak-watak utama dalam dua novel ini masing-masing menjelajahi pegangan mereka dengan sangat mendalam. Apatah lagi, pegangan mereka itu wajar dimuhasabah kita bersama, kerana kedua-duanya berhubungan rapat dengan pegangan agama.

Malah kita telah disediakan dengan sebuah panduan yang sesuai sepanjang zaman, Al-Quran. Dalam ayat 2 surah Al-Baqarah sendiri kita telah diperingatkan bahawa kitab inilah yang menjadi petunjuk buat orang bertaqwa. Jadi kenapa perlu diikutkan ideologi yang tak menentu? Kenapa perlu taksub dengan pertimbangan akal dan emosi sendiri semata-mata?

Novel Maeve Binchy juga mengajak kita menghayati maksud ayat 216 surah yang sama – yang baik untuk kita bukanlah semestinya apa yang kita rasa, dan Allah lebih tahu jika yang dirasakan kurang elok itu sebenarnya yang terbaik.

Salju Sakinah

Judul: Salju Sakinah

Penulis: Zaid Akhtar

Penerbit: PTS Millennia

Tahun: 2008

Harga: RM26

Bil.mukasurat: 559

Jangan nama saja Sumayyah, tapi lekas sangat mengalah.

Sumayyah. Nama watak utama dalam karya penulis mapan Zaid Akhtar ini mengetuk-ngetuk jiwa saya. Masakan tidak? Sumayyah adalah wanita pertama mati syahid. Ketika syariat masih belum turun, dan syahadah baru sahaja diucapkan, imannya boleh begitu teguh, jiwanya begitu yakin. Tegal apa? Dia betul-betul faham apa yang disampaikan nabi.

Begitulah watak Sumayyah dalam Salju Sakinah, dia tidak henti-henti diuji. Berbekalkan tiupan semangat arwah ayahnya, dia yang baru pulang dari Jordan menuntut agama, terpaksa terjun dalam bidang keusahawanan yang ditinggalkan ayahnya itu. Kemudian dalam menjaga sakit uminya, kakaknya pula didapati terlibat dalam sebuah ajaran sesat. Terus-terusan diuji, dia juga dilanda duga jiwa: Siapa lelaki yang mampu merawat hatinya dan melindunginya di kala dia perlu teduhan?

Kesediaan Seorang Daie

Sumayyah memaparkan kepada kita ciri seorang daie yang amat penting dan perlu kita contohi, iaitu kesediaan dan kesanggupan yang berterusan dalam menyampaikan mesej dakwah. Ya, bukan senang untuk menjadi orang yang sentiasa bersedia, apatah lagi dalam membawa tugas berat seperti ini. Dalam novel ini, Sumayyah ditugaskan oleh ustazahnya yang tinggal sekampung dengannya untuk menyampaikan kuliah untuk para jiran wanita di kampung-kampung sekitar kerana tidak menang tangan. Sumayyah perlu sentiasa cerdas dalam memikirkan tajuk yang sesuai, metodologi penyampaian, dan maklumat yang wajar diketengahkan agar mesejnya sampai dengan efektif.

Daie juga harus bersedia untuk menghadapi masalah dalam keluarga, bukan dalam masyarakat semata-mata. Apabila kakak sulung Sumayyah didapati terlibat dalam sebuah ajaran sesat, Sumayyah sentiasa resah memikirkan solusi terbaik yang dapat membawa kakaknya kembali ke pangkal jalan, juga demi memperbaiki hubungan kekeluargaan mereka yang rosak kerana isu itu.

Zaid juga menyelitkan isu-isu semasa (sewaktu novel ini disiarkan secara bersiri sepanjang 2005 di dalam akhbar Utusan Malaysia), tentang politik dan sosial, bagi menggambarkan seorang daie perlu arif dalam pelbagai bidang.

Muslimah Contoh

Sebagai seorang lulusan agama, Sumayyah menjadi contoh untuk para pembaca, khasnya muslimah, untuk menjaga hubungan sesama manusia dan lebih utama, Tuhan. Aspek muamalah sangat ditekankan oleh penulis. Sememangnya cinta itu menjadi sebuah persoalan dalam novel ini, tetapi lebih wajar jika kita perhatikan cara berhubungan lelaki-perempuan yang didatangkan.

Bercakap mengenai wanita, tentunya kita akan kaitkan dengan emosi. Perasaan dan cara fikir seorang wanita pasti berbeza dengan seorang lelaki. Zaid telah menulis watak-watak muslimah dengan keperibadian yang cantik dan mulus. Mereka mengekang perlakuan bersandar nafsu dan emosi, dan menjadi citra terbaik pembawaan iman dalam kehidupan–bagaimana iman mampu mengawal sikap dan akhlak seseorang. Mungkin bunyinya sedikit idealistik, tetapi inilah yang wajar dicontohi. Watak yang kurang elok juga dimasukkan (Zaleha, jiran Sumayyah yang pesimistik, kuat cemburu dan suka memfitnah) demi membuat perbandingan sikap baik-buruk yang perlu menjadi teladan.

Ada yang mengatakan pembaca dapat merasakan kisah ini seperti ditulis oleh seorang wanita jika kita tidak diperkenalkan dengan penulis lebih dulu. Mungkin kerana penghasilan watak Sumayyah yang berkesan, juga kefahaman penulis terhadap peribadi seorang wanita menjadikan kesannya begitu baik. Saya tidak pasti adakah saya setuju dengan pandangan itu, tetapi sememangnya Sumayyah dan rakan-rakannya, Izzati, Fatihah, Marianis dan Hakimah telah digambarkan sebagai muslimat contoh dan ini sudah cukup sebagai pelajaran buat pembaca.

Jikalau bercerita tentang aspek sastera, Zaid Akhtar berjaya dalam memperindah dan memperhalus Salju Sakinah melalui kosa kata dan istilah yang padan. Padan dengan latar bumi Jordan, yakni dengan istilah-istilah Arab; juga padan dengan wanita sebagai protagonis. Tidak perlu komen banyak. Antara yang saya sangat suka adalah frasa ‘Sumayyah mengelopakkan senyum’ yang saya kira sangat cantik dan sesuai.

Secara teknikal, ada sedikit kekurangan yang perlu diambil perhatian oleh penerbit. Kulit hadapan naskhah ini yang menampilkan wanita berpurdah saya rasakan sedikit klise. Tetapi saya anggap hal ini terjadi kerana novel ini menjadi mangsa trend novel cinta Islami yang memuncak penerbitannya waktu itu (sehingga sekarang sebenarnya masih berlaku). Lebih penting, saya dapati tiada blurb atau ringkasan buku disertakan di belakang buku. Saya membeli buku ini pun kerana telah kenal dengan Zaid dan berpuas hati dengan karya-karyanya sebelum ini. Pembaca lain yang belum kenal tentu ingin tahu tentang apa novel ini.

Kini novel tempatan sudah mula mengambil pendekatan novel-novel Barat yang dilambakkan kulitnya dengan pujian dan komen mengenai sesebuah novel itu. Apatah lagi jikalau ulasannya sama sahaja pada setiap novel. Lebih baik ulasan-ulasan ini dimuatkan di dalam. Jangan macam novel Inggeris, sikit-sikit “unputdownable”, “a page-turner”, “gripping”..dan macam-macam lagilah yang berulang-ulang, hanya memualkan pembaca saja. Tidak bermaksud komen pada kulit itu tidak bagus, cuma cukuplah satu atau dua terpilih untuk menghiasi kulitnya. Kemudian isinya terpulang pembaca menilai.

Sekarang penulis sedang menyiarkan novel bersiri bertajuk ‘Bianglala Bosphorus’, sekuel kepada novelnya Rona Bosphorus di majalah ANIS. Jika suka Salju Sakinah, saya cadangkan kalian baca Tunggu Teduh Dulu karya Faisal Tehrani. Berkenaan wanita dan keusahawanan juga.

84, Charing Cross Road

Judul: 84 Charing Cross Road

Penulis: Helene Hanff

Penerbit: Virago Books

Tahun: 2008 (Edisi Baru)

Bil. mukasurat: 256

84 Charing Cross Road adalah sebuah kisah persahabatan antara dua benua. Berlaku secara tidak diduga. Walaupun berbeza budaya, kepercayaan dan gaya hidup, ada persamaan yang menyatukan mereka, iaitu minat. Cinta dua sahabat kepada buku-buku dan kesusasteraan Inggeris menjadikan mereka lebih dari sahabat karib—mereka menjadi sebuah keluarga.

Kisah bermula apabila Helene Hanff tertarik untuk membeli buku-buku antik dari sebuah kedai buku terpakai bernama Marks & Co., (yang beralamat di 84, Charing Cross Road) di London selepas terbaca sebuah iklan di akhbar tempatan. Helene yang tinggal di New York  berhadapan dengan kesukaran untuk mendapatkan buku-buku antik sebagai rujukan dan pembacaannya sendiri. Jadi, seorang staf bernama Frank Doel membalas surat-surat tempahannya.  Apa yang bermula sebagai urusan menempah dan membayar buku-buku, lama-kelamaan menjadi sebuah persahabatan erat antara Helene dengan Frank, serta keluarga staf-staf Marks & Co. yang lain. Mereka saling bertukar pengalaman, malah hadiah dan resepi di tengah-tengah kehidupan pasca-perang.

Kemanisan Ikatan Non-Fizikal

Secara peribadi, karya berbentuk epistolari memang menjadi kegemaran saya. Barangkali kerana saya suka sifatnya yang nostalgik. Surat adalah medium perhubungan yang penting sebelum datangnya emel dan alat elektronik lain yang memudahkan komunikasi. Walaupun surat mengambil masa untuk dihantar dan diterima, tetapi yang menjadikan nilainya tinggi adalah dari segi emosi. Surat merakamkan kejujuran dan memberi kemesraan. Apatah lagi kalau ditulis dengan tangan, lebih tinggi nilainya. (Sesiapa yang pernha membaca buku-buku berkenaan grafologi atau analisis tulisan tangan pasti tahu kenapa saya berkata begitu.)

Begitulah, selama 20 tahun mereka berhubungan melalui surat. Helene berjanji untuk dating mengunjungi sahabat-sahabatnya di 84, Charing Cross Road tetapi kerja dan kekangan wang menyukarkannya mendapatkan masa yang sesuai untuk ke England.  Manisnya membaca karya ini apabila membaca surat-surat dari kawan-kawan Frank (yang juga staf di Marks & Co.) yang ditulis secara curi-curi dalam waktu kerja yang lucu dan terisi dengan senda gurau. Geli hati juga memikirkan kerenah mereka ini, terutama apabila mereka hampir ‘kantoi’ curi tulang dengan pekerja pejabat yang lain.

Persahabatan yang terjadi secara non-fizikal ini mengingatkan saya pada ikatan akidah yang dijalinkan sesama Muslim keseluruhannya. Iman yang terbina dalam jiwa-jiwa setiap individu Muslim secara non-fizikal menjadikan kita erat, biarpun kita tidak pernah bertemu. Disebabkan itulah, akan timbul rasa kasih jikalau betul-betul memahami aspek ini. Kalau tidak bagaimana kita boleh mencintai tampang agung yang bernama Muhammad itu sedangkan tiada siapa di zaman ini pernah berjumpa dengannya?

Pendahuluan yang disediakan dalam buku ini oleh Juliet Stevenson sangat membantu kita memahami kisah benar ini dengan lebih halus. Sebab itulah setiap kali membaca buku saya akan pastikan kata pengantar ataupun pendahuluan itu dibaca, kerana kebiasaannya isinya adalah lebih dari ucapan penghargaan dan pujian terhadap karya yang dipersembahkan. Dalam cetakan ini, isinya membedah buku ini dari perspektif Stevenson.

Nilai Sebuah Buku

Saya sempat menjenguk bekas tapak kedai buku Marks & Co. ketika berkunjung ke London tidak lama dulu. Pada awalnya saya hanya ternampak nombor pintu 82, 83 dan 85. Di mana nombor 84? Setelah puas mencari, saya ternampak sebuah plat besi di dinding sebuah premis kedai berhampiran. Tertulis di atasnya:

84 CHARING CROSS ROAD

THE BOOKSELLERS MARKS & CO.

WERE ON THIS SITE WHICH BECAME WORLD RENOWNED

THROUGH THE BOOK BY HELENE HANFF

Wah, sememangnya sebuah buku boleh memberi kesan yang besar terhadap masyarakat. Walaupun Marks & Co. tidak wujud lagi, masih banyak kedai-kedai buku antik dan terpakai boleh didapati sepanjang jalan tersebut, selain kedai-kedai buku baru seperti Foyles. Malah ada satu lorong  yang boleh diakses melalui Charing Cross Road, yang dinamakan Cecil Court (gambar bawah), khas menempatkan toko-toko buku antik. Di tingkap hadapan terpamer pelbagai buku edisi lama yang tak mungkin boleh dijumpai di kedai buku terpakai biasa. Usianya mungkin boleh mencecah seabad malah. Saya juga memiliki dua tiga buah buku—berkenaan senibina Inggeris—yang pemilik asalnya membelinya pada tahun 1915!

Bukan sahaja nilai buku ini dipandang tinggi dari segi isi, malahan nilaian harganya juga semakin hari semakin bertambah. Di dalam buku tulisan Helene ini, harga buku-buku lama pada tahun 50an dan 60an tidak lebih dari 5 dollar setiap satu, tetapi kini saya sempat memerhatikan harga sebuah buku yang nipis saja sudah boleh mencapai beratus-ratus pound.

Apapun, saya rasa senang melihat buku-buku sangat dihargai nilainya. Baik yang digambarkan di dalam buku ataupun melalui pemerhatian saya sendiri. Jika kita kembali ke masa silam sudah pasti kita akan terkenang perpustakaan agung bernama Baitul Hikmah, di zaman Abbasiyyah—ketika umat Islam sangat ketagih ilmu dan memandang tinggi nilai buku. Sehinggakan penterjemah karya-karya tamadun Yunani dianugerahkan emas seberat buku-buku yang berjaya diterjemah.

Sayangnya, semua itu dimusnahkan begitu sahaja sewaktu serangan orang Mongol. Mereka mencampakkan buku-buku tersebut ke dalam sungai sehingga hitam warna sungai Tigris dek dakwat yang larut air itu.

Berbalik kepada buku ini, kalau tidak silap saya, tak kedapatan di Malaysia. Saya sudah perhatikan beberapa kedai buku online namun setelah ditaip dalam enjin carian tajuk ini memang didapati tiada. Jadi bagi yang ingin membacanya boleh mengunjungi Book Depository, pembekal buku dari UK yang menawarkan buku ini dengan penghantaran percuma.

Bonusnya, buku ini bukan sahaja mengandungi 84, Charing Cross Road tetapi sebenarnya terdapat sebuah lagi buku tambahan, bertajuk The Duchess of Bloomsbury Street yang merupakan sekuel kepada buku ini. Pembaca ditinggalkan dengan epilog yang agak tergantung, jadi The Duchess of Bloomsbury Street memberi kesudahannya. Bagi yang meminati karya-karya bersadurkan persuratan dalam bahasa Melayu pula, bolehlah cuba baca Surat-surat Perempuan Johor tulisan Faisal Tehrani, ataupun karya popular Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck karya Hamka (itu saja yang saya baca pun, haha.)

Oh ya, terima kasih kepada Puan Nisah Haron kerana mempromosi buku ini di dalam blognya! Saya terus membelinya secara online setelah membaca entrinya berkenaan buku ini.

Sinergi: Merengkuh Hidup Bertarbiyyah

Judul: Sinergi

Penulis: Hilal Asyraf

Penerbit: Galeri Ilmu

Tahun: 2010

Harga: RM23.00

Bil.mukasurat: 500

Novel kelima Hilal Asyraf kali ini berkonsepkan slice of life komuniti pelajar Melayu di Jordan. Cerita dibawa dari pelbagai sudut pandang ketiga. Memandangkan latarnya sangat benar dan bukanlah fiksi, naskhah ini secara tidak langsung saya pandang juga sebagai semi-fiksyen, kerana penulis menceritakan pengalaman dan berkongsi suasana yang dialaminya sendiri, sebagai salah seorang pelajar di Universiti Yarmouk, Jordan. Bukan setakat latar tempat, latar masyarakat, nama-nama yang terlibat juga ada yang benar. Saya menyedari ini kerana banyak di antara nama itu disebutkan di dalam laman sesawangnya.

Sinopsis

Rasyid Zakwan dan Irfan Hakimi. Dua sahabat akrab ini memberi kesan harmoni kepada masyarakat sekeliling mereka, apatah lagi pelajar Melayu yang tinggal di Irbid, Jordan. Namun ujian datang menguji kelangsungan ukhuwwah mereka. Disaster Five, lima pelajar bermasalah hadir dan memanipulasi konflik dua sahabat ini untuk memporak-perandakan semua. Rancangan tersebut diperhebat apabila hadir pihak ketiga bergelar Secret, yang mendendami Irfan atas kematian abangnya. Irfan dan Rasyid pelu mencari jalan untuk menawan hati mereka semula supaya kembali ke arah kebenaran.

Tarbiyyah Sepanjang Tahun, Oh Bukan, Sepanjang Hidup!

Pembawaan kisah kehidupan pelajar di bumi asing hampir setahun bermula Ramadhan bukan sahaja menelusuri tarbiyyah manusia sepanjang tahun, tetapi sepanjang hidup. Melalui Ramadhan contohnya pembaca diperkenalkan keutamaan taqwa; Iduladha pada mustahaknya pengorbanan dan cinta. Permasalahan yang selalu melayang dalam fikiran remaja khususnya banyak dibincangkan dalam novel ini. Ilmu itu pula, menariknya, disampaikan melalui medium yang bervariasi, dari ayat-ayat Al-Quran sehinggalah bingkisan sirah. Tambah telus bila pengarang bermain dengan analogi, permainan emosi, hati juga psikologi.

Penulis mengajak kita berfikir pada setiap kata-kata yang dilontarkan. Setiap adunan tazkirah dan nasihat adalah bertujuan membangunkan hati-hati yang masih nyedar. Membuatkan setiap apa yang diselitkan dalam program-program seperti usrah dan introspeksi menjadi penting, dan penulis menyuruh kita menyedari itu secara halus. Kalau tidak bangkit ‘disimbah air’ kesedaran juga, kita masih perlu baiki diri!

Tentang Dakwah

Sinergi merupakan satu buku panduan yang cantik dalam menyampaikan mesej dakwah yang indah lagi halus. Kemunculan Disaster Five, lima orang pelajar dengan bermacam-macam ragam merupakan simbolik kepada mad’u atau objek dakwah yang perlbagai. Setiap individu yang didekati dalam menyampaikan dakwah mempunyai latarbelakang berbeza, masa silam, kelebihan, juga kekurangan yang tidak sama. Tentunya, cara menyentuh hati-hati setiap satu dari ahli Disaster Five ini juga tidak sama. Harith digoncangkan hatinya dengan kekuatan fizikal. Yusuf disuguhi dengan jasa, begitu contohnya.

Aspek lain dalam dakwah adalah seputar usaha. Dakwah tidak dipandang pada hasilnya dahulu, tetapi yang lebih didahulukan sepatutnya usaha yang telah dikerahkan. Sekalipun para mad’u tidak meyahut seruan dai’e, tanggungjawab yang kita pikul itu sudah kita laksanakan dengan sebaik-baiknya. hasilnya adalah di dalam tangan Allah jua. Hal ini ditonjolkan dalam usaha Irfan yang tidak putus asa mendekati ahli-ahli Disaster Five.

Dalam menyelami tugas dai’e rasa tanggungjawab perlu dihayati terlebih dahulu. Betapa tugas sebagai da’ie ini bukan mudah. Masalah saudara-mara kita, saudara seagama kita perlu difahami seintim mungkin, bukannya memerhati dari permukaan, tetapi menggulatinya dari dasar. Pengalaman ini telah diceritakan melalui Asid yang resah berfikir mengenai tanggungjawabnya kepada mereka yang masih belum merengkuh hidup bertarbiyyah. Pernah, saya membaca sebuah novel inggeris karangan Maeve Binchy, dalam menyelesaikan sesuatu masalah, katanya: Don’t just look on it, but be a part of it as well. Baru kita boleh faham situasi yang melanda.

Selain itu, dinisbahkan juga metod dakwah kepada dua: Dakwah fardiyyah untuk anggota-anggota Disaster Five. Dakwah berskala besar pula berlaku antara warga PERMAI (Persatuan Mahasiswa Malaysia Irbid). Uslub yang dipertontonkan pada pembaca semuanya bertunjangkan apa yang dibawa oleh baginda Rasul dan para sahabat, lalu diperhalusi lagi dengan seni dakwah Imam Hassan Al-Banna dengan sahabat sefikrahnya Ikhwanul Muslimin. Berhikmah, dan tidak putus asa.

Kenapa Sinergi?

Pengarang dengan suka memperkenalkan kepada kita jalur konsep ukhuwwah dengan bancuhan urnanya yang tersendiri. Dalam Sinergi, konsep tersebut merujuk kepada formula 1+1=3, tidak semestinya dua jawapannya. Formula ini mengajar pembaca betapa kesatuan dua individu bakal melahirkan sesuatu yang luarbiasa, kerana tanda campur itu merupakan iman. Gugusan iman yang menyatukan dua saudara ini akan menggerakkan mereka menggenggam tali Allah.

Hablum min an-naas dalam novel ini begitu signifikan sifat dan nilainya, begitu juga seperti yang diutarakan dalam novel-novelnya yang terdahulu. Penekanan cara dan sebab melalui persoalan kenapa dan bagaimana yang sering disuakan kepada pembaca menerusi watak pelajar-pelajar sanfur (gelaran pelajar baru di sana) mengajar kita sebenar letak duduk perkara.

Ukhuwwah dengan sahabat bukan sahaja menuntut kita menggaluri haknya sebagai sahabat. Malah penulis menggarisi adab-adab dan tingkatan ukhuwwah yang perlu dikenalpasti oleh setiap manusia yang punya dan ingin mempunyai sahabat persis Asid dan Irfan, yang karibnya hanya kerana Pencipta.

Watak & Cerminan Diri

Mungkin bagi kita, watak Irfan dirasakan hampir sempurna, hampir tiada cacat cela pada perkataan dan perbuatannya. Tetapi di mana salahnya watak sebegitu? Irfan adalah seorang watak contoh, watak idaman setiap manusia. Pembaca disuluh dengan pemikiran watak ini supaya kita dapat mencontohinya. Watak kurang sempurna masih ada, tentunya dinisbahkan pada komuniti pelajar Melayu di Irbid yakni warga PERMAI sendiri, yang sekejap baik lakunya dan sekejap lagi sedikit kurang teliti. Setelah ditegur barulah  insaf kembali.

Watak ‘kembar’ atau sahabat akrab Asid dan Irfan pula menggambarkan kepada pembaca mengenali dua sisi diri: satu menuntut kebaikan dan satu lagi keburukan. Asid bukanlah seorang yang buruk akhlaknya, tetapi dia kurang stabil emosi dan fikirannya berbanding watak Irfan. Dua watak berbeza ini bukan sahaja mencerminkan sifat dua sahabat, malah seharusnya diimplementasikan dalam figura sendiri.

Dalam hati kita, akan ada emosi yang mengganggu. Hati juga dijamu dengan jalan keburukan dan ketaqwaan. tetapi yang beruntung adalah orang yang memilih jalan kesucian. Ini dibuktikan dalam Al-Quran surah Asy-Syams ayat 8-10, dan tercermin pula pada watak Asid yang berjaya mengelakkan diri dari kefasadan.

Pun begitu, di sebalik kekuatan novel ini, sedikit kekurangan yang saya rasa boleh diperbaiki ialah rincian yang disertakan dalam buku ini. Kadang-kadang maklumat yang disampaikan agak deskriptif dan teknikal bagi saya. Watak-watak sampingan yakni pelajar-pelajar Melayu yang disebut namanya di sana-sini juga boleh dikurangkan. Ketika saya membaca novel ini, saya terkeliru dengan nama-nama yang banyak. Setiap satunya pula diperincikan dengan jurusan dan tahun pembelajarannya, tambah mengelirukan kadangkala.

Pada awal bab contohnya, pembaca terus diperkenalkan kepada watak yang agak banyak, setiap satunya belum cukup ‘dekat’ dengan pembaca. Watak-watak utama seperti Asid, Irfan, Syafiq, Erman dan Baha contohnya perlu difokuskan terlebih awal sebelum watak-watak pelajar lain dibabitkan. Setelah pembaca mampu mengikat diri mereka dengan watak utama ini, barulah watak sampingan itu di selitkan sedikit demi sedikit. Atau mungkin juga penulis secara tidak langsung ingin mengatakan bahawa setiap watak itu penting? Hanya penulis saja mampu menjawabnya.

Perkara-perkara kecil juga boleh diperbaiki, antaranya Yusuf, Wafiq dan Harith yang sekejap bertukar ganti dari kata ganti ‘saya’ kepada ‘aku’ ketika mereka meluah rasa tentang masa silam mereka, punca mereka memberontak sebegitu rupa pada Irfan, Asid dan rakan-rakan. Dengan penelitian yang lebih, seni penceritaannya pasti lebih sempurna.

Novel ini mengingatkan kita peri pentingnya hidup di bawah wuwungan Allah, dan bagaimana hebatnya jika merengkuh diri kepada sahabat bukan kerana materi, tetapi berpaksi imani. Jika kalian dahagakan curahan tarbiyyah dari sebuah buku, rengkuhlah Sinergi, nescaya hati akan terisi, Insya Allah.