Category Archives: Ulasan Buku

Negeri 5 Menara

Judul: Negeri 5 Menara

Penulis: A.Fuadi

Penerbit: PTS

Tahun: 2010

Harga: RM20

Bil. mukasurat: 488

Sangat asing sekali membaca sebuah novel berkisarkan kehidupan pelajar-pelajar di sekolah pondok. Sekurang-kurangnya di Malaysia jarang sekali latar ini diketengahkan. Yang ada pun paling tidak, di sekolah biasa. Negeri 5 Menara merupakan novel yang menggunakan latar sebuah pondok moden di Indonesia.

Berdasarkan pengalaman penulis sendiri di Pondok Modern Gontor, penulis mengolah jejaknya dari pondok tersebut sehinggalah tamat pengajiannya dan kejayaannya setelah itu menjadi sebuah kisah motivasi yang unik.

Impian dia untuk menjadi seperti B.J Habibie (Presiden Ketiga Indonesia). Cita-cita ibunya pula mahu menjadikan dia persis Buya Hamka, lantas menghantarnya ke Pondok Madani di Jawa Timur. Alif Fikri pergi dengan separuh hati, antara mahu dan tidak, tetapi hari-hari di Pondok Madani nyata mengubah dirinya. Laungan kalimat sakti man jadda wajada oleh Kiai Rais, ketua PM melantun-lantunkan semangat baru dalam dirinya.

Sepanjang kehidupan berasrama di PM, dia menemukan beberapa teman yang banyak berkongsi suka duka. Ada Raja yang rancak berpidato, Said yang beraura pemimpin, Atang yang mahir dalam seni teater, Baso yang rajin menghafal Al-Quran, dan Dulmajid yang suka membaca.  Di bawah menara masjid, mereka selalu bertemu dan memerhati kesumba langit senja. Awan-awan yang berarak seolah-olah menjelma menjadi negara dan benua impian masing-masing. Apa menara-menara impian mereka mampu dicapai? Begitu gumam mereka. Syair Imam Syafie mengiringi angan-angan mereka:

Orang pandai dan beradab

Tidak akan diam di kampung halaman

Tinggalkan negerimu dan

Merantaulah ke negeri orang…

Setelah membaca dari awal sampai sudah, ternyata Negeri 5 Menara memberi perasaan yang bercampur-campur. Jujur saya katakan, ceritanya tidak terlalu luarbiasa. Jalan cerita dan plot yang disediakan secara bingkai-bingkai kecil (story arcs) juga sederhana, kerana ceritanya adalah cerita kehidupan sepanjang di asrama PM dari tahun pertama kemasukan hinggalah tahun akhir. Tidak ada peristiwa yang terlalu dramatik ataupun bersifat misteri/saspen.

Cuma, apa yang mengindahkan prosa ini adalah penggunaan bahasa dan susunan kata yang pada saya bersifat ‘nostalgik’ dan ‘jujur’. (‘Jujur’ maksud saya adalah penceritaan dari perspektif pelajar yang adakalanya kurang matang, nakal dan lucu.) Kata-kata hikmah dan nasihat yang mengalir deras dari Kiai Rais sangat baik sekali. “Dahulu menjual mengkudu sekarang menjual durian, dahulu tidak laku sekarang jadi rebutan.” adalah antara kata yang mempesona di penghujung buku dari beliau untuk para santri yang sudah tahun akhir.

Jika ingin dikaitkan dengan pembaca, rasanya paling dekat sekali tentulah para pelajar. Juga tidak kurangnya untuk para guru dan bakal pendidik. Mereka yang terlibat dalam bidang pendidikan mungkin mampu menilai banyak perkara dari novel ini. Sistem pendidikan yang tegas tapi kreatif dijalankan di pondok moden tersebut sangat sesuai diteladani baik buruknya, pahit manisnya.

Antara yang menarik minat saya adalah sistem hukuman kepada pelajar yang melakukan kesalahan. Antara hukumannya adalah mereka perlu menjadi semacam detektif untuk menyiasat pelajar lain yang melakukan kesalahan pula. Sebagai orang yang bersalah, memerhati kesalahan orang lain pula sebenarnya akan menjadikan kita lebih awas dengan kecuaian diri, dan tentunya mengelakkan diri sendiri dari membuat perkara yang sama. Kesalahan-kesalahan sekecil mana pun tetap akan dipandang, termasuklah curi-curi berbahasa Indonesia (wajib berbicara dalam Bahasa Arab atau Inggeris di PM)!

Sekaligus, novel ini menjadi sebuah pengenalan baru yang mematahkan pandangan pesimis masyarakat tentang institusi pesantren atau pondok. Ternyata di pondok juga ada pelajaran falsafah, seni dan sains, bukanlah agama seratus peratus. Pelajar diwajibkan bergiat aktif dalam latiahn berpidato, dan juga mengembangkan bakat atau bidang yang diminati. Bukan bermaksud masuk pondok ini seperti penjara dan cuma pilihan terakhir bagi mereka yang tidak dapat melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi. (Terhibur menonton bual bicara buku ini dalam sebuah rancangan TV Indonesia di sini)

Sesekali jika anda inginkan novel yang mengimbau kenangan zaman persekolahan, rasanya novel ini cukup bagus untuk memenuhi hasrat itu. Seperti kata saya awal-awal tadi, ayat-ayatnya yang nostalgik dan jujur sangat dekat dengan lumrah jiwa seorang pelajar. Lagi-lagi setelah kita bersusah payah menempuhi zaman itu dan di penghujungnya kita bertemu impian yang diidam sejak dulu, seperti enam sekawan itu.

“Sesudah kami mengerahkan segala ikhtiar dan menggenapkan dengan doa, Tuhan mengirim benua impian ke pelukan masing-masing. Kun fayakun, maka awalnya awan impian, kini hidup yang nyata. Jadi jangan pernah remehkan impian, walau setinggi apa pun. Tuhan sungguh Maha Mendengar.”

*Buku ini buku pertama dari trilogi 5 Menara. Buku kedua sudah terbit di Indonesia dengan tajuk Ranah 3 Warna. Sumber gambar di sini.

Bahlut: Realiti Dua Dunia

Judul: Bahlut

Penulis: Faisal Tehrani

Penerbit: Ameenbooks

Tahun: 2010

Harga: RM23

Bil. mukasurat: 400

Perengheg!—Pecut! Itulah kalimat yang diungkapkan oleh Bahlut, seorang atlet trek dari suku kaum Semai. Awalnya, Bahlut cuma anak hutan yang ketinggalan pelajarannya, dan lari ke Kuala Lumpur untuk mengubati kecewa cinta monyetnya. Namun atas bantuan gurunya Zaiful, dia dibawa mengenali dunia sukan olahraga di atas trek lumba lari, di sebuah sekolah sukan di Bukit Jalil. Siapa sangka anak orang asli tidak boleh maju seperti orang lain? Siapa sangka pemuda yang kekampungan itu tidak mampu meraih kejayaan?

Novel ini dilatarbelakangi sebuah hutan di Sungai Telom di Pahang. Sekali lagi, Faisal Tehrani menunjukkan gaya versatilnya dalam pembikinan novel. Kali ini, karyanya mengadun dua dunia berbeza yang pada mata kasar tidak terlihat keterkaitannya: Sukan dan perhutanan atau alam sekitar.

Perbendaharaan yang Diperkosa

Usai solat subuh saya menonton rancangan Malaysia Hari Ini di TV3. Selalunya pagi awal begini mereka akan mulakan dengan membaca berita-berita utama di dada-dada akhbar utama tempatan. Petikan berita yang dibaca oleh hos itu di dalam suratkhabar The New Straits Times menarik minat saya kerana ada kaitannya dengan novel yang sedang saya baca.

Timber and gold ripped off” (Baca berita di sini)

Rupa-rupanya di Malaysia, masih berlaku pembalakan dan perlombongan secara haram! Berita lanjut yang saya tonton di TV1 pula merungkai kes yang berlaku di Raub ini telah berjalan selama 4 tahun. Lebih teruk lagi, aktiviti terlarang ini berkemungkinan besar ada kaitan dengan rasuah dan permainan politik, kerana tidak mungkin dalam waktu selama itu tidak ada pihak berkuasa yang menerima laporan ataupun menyedari sendiri khazanah negara kita dirobek begitu sahaja tanpa kawalan.

Begitulah yang terjadi dalam dunia Bahlut. Kampungnya di Sungai Telom, Pahang menerima nasib yang sama. Individu yang sepatutnya mereka percayai rupa-rupanya mengkhianati mereka demi kepentingan materi dan diri sendiri. Mereka yang mengetahui dan yang cuba untuk mengetahui kes pembalakan tersebut menerima nasib malang dari pihak pembalak haram tersebut.

Sudah tentunya, apabila ada pihak berkuasa yang ikut campur menjayakan jenayah mereka, tidak ada tindakan tegas yang akan diambil kepada pembalak-pembalak itu. Malah yang berpihak kepada kebenaran, contohnya Kabut (kakak angkat Bahlut), Cikgu Zaiful dan Cikgu Zalman (bekas guru Bahlut sebelum ke Kuala Lumpur) diancam bahaya dan hampir-hampir tidak mendapat keadilan.

Selebriti, Satu Solusi

Di sinilah terhubungnya dunia sukan yang ditunggangi Bahlut. Sebagai atlet yang juga menjadi selebriti secara tidak langsung, dia berusaha keras meraih pingat. Dengan menjadi perhatian media, dia membawa mesej untuk mempertahankan tanah adat orang asli malah membanteras jenayah haram pembalakan demi menebus kembali apa yang telah dirampas dari mereka; keluarga, tempat tinggal, dan juga keamanan.

Situasi ini sudah lama menjadi satu cara efektif, bukan saja dalam melariskan produk, malah untuk meluahkan rasa protes ataupun merubah sesuatu keadaan secara drastik. Dalam buku ini ada dinyatakan tentang peristiwa Muhammad Ali, peninju terkenal, pernah melemparkan pingat emas Olimpiknya ke dalam Sungai Ohio untuk melahirkan rasa tidak puas hati terhadap isu perkauman yang mengenepikan bangsa berkulit hitam di Amerika waktu itu.

Rujukan pantas di Internet menyatakan perkara ini masih tidak dapat dipastikan kesahihannya. Namun, lebih penting dari itu, kita dapat lihat bagaimana selebriti memainkan peranan penting dalam menyelesaikan masalah dengan cepat dan efektif kerana perhatian media yang begitu kuat. Mungkin langkah ini bukanlah cara yang sepatutnya, tetapi dalam zaman ini, tidak dapat dinafikan ini merupakan antara cara yang sangat berkesan.

Contoh terkini memperlihatkan artis-artis dari negara kita yang ikut serta dalam misi kemanusiaan ke Gaza dan sudah tentu mendapat liputan meluas dari dunia hiburan. Sekaligus, secara halus menyuntik sifat peduli masyarakat khususnya remaja tentang isu Palestin.

Rancangan yang ditonton tengahari tadi juga satu bukti bahawa kejayaan seseorang serta kuasa media mampu memberi maklumat yang jitu dalam sesuatu hal. Program bertajuk Orang Asli Terbilang yang disiarkan di TV1 itu,  mengetengahkan seorang juruhebah yang berketurunan orang asli Rompin. dalam episod  kali ini.  Sememangnya sebagai seorang penyiar di radio, akan ada audiens yang tersendiri yang mudah mencerna ideanya. Penonton rancangan ini juga mampu menerima sebaiknya apa yang disampaikan oleh tokoh tersebut  setelah dia berusaha untuk berjaya. Bukankah ini sama kesnya dengan Bahlut?

Sekali lagi ditekankan ini bukanlah cara terbaik, tetapi hanyalah antara alternatif yang sangat memberi respon dan impak pantas.

Selain jalinan dunia trek dan alam, pembaca dibawa mengembara bersama Bahlut dalam pencarian identiti diri dan mengenal Nyenang he nanek (Tuhan Yang Satu). Faisal Tehrani menggunakan sedikit elemen ‘mistik’ melalui elemen mimpi dan instinct para watak. Bahlut mengenali kehidupan beragama sejak dari kampungnya lagi tetapi mula didorongi kekuatan untuk menganut Islam setelah sekian lama tinggal bersama abang gurunya, Zaidi, yang tinggi ilmu dan akhlaknya. Peristiwa-peristiwa pahit manis yang menyelubungi dirinya sepanjang mengenali Zaiful dan Zaidi menjadikan Bahlut seorang yang lebih matang dan selalu berfikir.

Pertembungan dunia hutan batu kota Kuala Lumpur dan hutan asli juga memberi kesan yang segar. Meskipun jalan ceritanya tidaklah begitu unik, tetapi penggabungan latar-latar dari dunia berbeza ini bagi saya cukup menarik. Mesejnya cukup jelas. Tambah istimewa apabila bahasa suku kaum Semai menghiasi perbualan-perbualan para watak sampai pengakhiran novel.

Novel ini patut dipandang serius kerana walaupun hanya fiksyen, peristiwa jenayah yang berlaku di dalamnya adalah satu realiti yang masih membelenggu negara. Bukan sahaja realiti pahit dunia hutan, tetapi juga secebis dari dunia sukan.

Bahlut merupakan sebuah kisah terinspirasi dari pahlawan lagenda kaum Semai. Kata orang, from zero to hero!

Umar Abdul Aziz, Ikon Good Governance

Judul: Umar bin Abdul Aziz – Peribadi Zuhud Penegak Keadilan

Penulis: Abdullah bin Abdul Hakam

Penerbit: Alam Raya Enterprise

Tahun: 2009

Harga: RM25

Bil. mukasurat: 204

Dalam membaca, soal terpenting untuk kita akrab dengan isi kandungan sesebuah buku sudah tentu maklumat atau tema yang disampaikan. Setiap orang ada subjek yang diminati. Ada yang meminati genre sejarah, ada yang mesra dengan tajuk politik, dan macam-macam lagi. Tetapi, isi menarik tidak punya makna pula sekiranya tidak disampaikan dengan teliti, yakni disampaikan secara sambil lewa atau dengan bahasa yang tidak tersusun. Pembaca sukar faham mesej yang diimplementasi dan ilmu susah untuk lekat di dalam cepu minda. Di sinilah letaknya kelemahan naskhah terbitan Alam Raya Enterprise ini.

Kebelakangan ini saya mula mendekati buku-buku bertemakan sejarah dan tokoh-tokoh dalam sejarah Islam. Jadi apabila melihat buku ini, tanpa teragak saya membelinya, tetapi apabila membaca beberapa muka awal saja, saya sudah hampir menyerah. Bahasanya tunggang-langgang!

Tidak hairanlah, kerana naskhah ini berasal dari Indonesia dan diterjemahkan. Sebelum itu pula buku ini sebetulnya berbahasa Arab. Jadi sudah melalui tiga terjemahan yang menjadikan struktur ayatnya memeningkan. Tambah mengecewakan apabila kandungannya tidak begitu tersusun pada saya. Ini kerana isi setiap bab kelihatan hampir sama—semuanya adalah anekdot-anekdot dari sejarah tokoh Umar Abdul Aziz ini. Malah, banyak juga kesilapan ejaan yang mengganggu mood pembacaan.

Kalau tidak silap, buku ini telah diulang cetak dengan pernyataan “Buku Terlaris” di kulit hadapan. Harapnya ada penambahbaikan dari segi penyampaiannya.

Ikon Tatakelola Pemerintahan Yang Baik (Good Governance)

Bercakap soal ketelitian ini, tokoh Umar bin Abdul Aziz ini begitu teliti sifatnya. Pada setiap hal, diperhatikan betul-betul sumbernya dan situasinya. Daripada soal pemerintahan negara sehinggalah makan pakai anak-anaknya malah gajinya dipertimbangkan. Inilah tokoh yang mempamerkan cirri sebenar tatakelola pemerintahan yang baik, atau dikenali di Barat sebagai good governance. Tidak hairanlah Umar bin Abdul Aziz juga terkenal dengan julukan Khalifah Rasyidin yang kelima (yakni selepas Ali Abi Talib).

Mengapa begitu? Seperti yang saya katakan tadi, Umar sangat teliti dalam pemerintahannya. Sekecil-kecil perkara tidak akan dianggap remeh. Amanah yang dipegangnya dipandang setinggi-tingginya. Gajinya sendiri ditetapkan olehnya lebih rendah dari para pekerjanya. Kurma yang dihantar melalu pos kepadanya juga ditolak dengan alasan kaum muslimin lebih berhak mendapatkannya. Perhiasan isterinya pula dimasukkan ke dalam baitulmal.

Malah beliau memerintah dengan cara yang sangat berbeza dengan khalifah-khalifah sebelumnya, yang bukan saja suka menggunakan harta baitulmal sewenang-wenangnya, malah tidak mengambil berat dengan serius permasalahan yang berlaku. Sehingga diceritakan, apabila Umar mengutus Yahya bin Said ke Afrika untuk membahagi-bahagikan zakat kepada yang memerlukan, Yahya tidak menjumpai seorangpun yang memerlukan wang zakat tersebut. Katanya, Umar telah menjadikan rakyatnya kaya.

Padahal Umar hanya memerintah selama dua setengah tahun saja!

Khalifah Umar juga sangat zuhud dan merendah diri. Awal perlantikannya, dia merasakan tidak layak untuk menjadi khalifah. Apabila berlaku perlantikan, sikapnya lantas berubah. Dahulunya dia juga mementingkan materi dan wang, tetapi apabila merangkul tanggungjawab itu, dia semakin bersederhana.

Anak-anaknya waktu itu cuma makan adas dan bawang untuk makan malam. Pakaian yang dipakai juga sangat sedikit sampaikan beliau terlewat ke masjid kerana mencuci pakaiannya untuk dipakai waktu itu. Beliau juga tidak suka dipuji tetapi lebih suka meminta nasihat dan teguran, menyebabkan airmata beliau selalu jatuh.

Educate, Bukannya Legislate!

Nah, bukankah ini antara contoh pemimpin terbaik? Bak kata Dr. Siddiq Fadzil, pengantar buku ini; Umar menggunakan pendekatan educate (mendidik) dan bukannya legislate (menggubal). Umar sendiri adalah contoh undang-undang dan bukannya hanya mengarah-arah pekerja di bawah dan duduk bersenang-senang di pejabat. Seperti Rasulullah yang menjadi qudwah hasanah buat umat. Kalau mahu dibandingkan dengan kita dan pemimpin negara zaman kini, tentunya masih banyak kelemahan pada zaman kita.

Pemimpin seronok-seronok saja bercuti dan berbulan madu sedangkan masih ada yang makan kais pagi dan petang. Yang kononnya melaung untuk mendahulukan rakyat, tetapi di dada media masih terpapar kesusahan warga. Katanya kebebasan bersuara diamalkan, tetapi mulut rakyat malah dipakukan. Umar Abdul Aziz hanya ada tidak sampai tiga tahun, sedangkan pemimpin kini mentadbir berdekad-dekad tetapi hasilnya?

Saya terkenang kisah pertama saya tentang Umar Abdul Aziz, yang saya baca dalam bentuk komik sewaktu di bangku sekolah rendah di dalam majalah Ana Muslim. Kisah Umar dengan lampu pelitanya. Ketika sedang menyelesaikan urusan negara di mejanya, anak kecilnya datang untuk menceritakan masalah keluarga. Umar tiba-tiba memadamkan lampu dan bilik itu menjadi gelap. Anaknya hairan, lalu bertanya:

“Mengapa ayah padamkan lampu? Bilik jadi gelap.” Lantas Umar menjawab:

“Anakku, lampu ini milik kerajaan, jadi dipasang hanya untuk menyelesaikan urusan negara. Tetapi engkau datang bertanyakan hal keluarga, jadi kita harus gunakan lampu milik kita untuk menyelesaikannya.”

Lalu dipanggil pembantunya untuk membawakan lampu mereka. Lihatlah, pemimpin negara! Adakah kamu telah menggunakan hak yang sepatutnya milik rakyat? Benarkah kamu telah meneliti suara-suara rakyat? ‘Amanah’kah kamu seperti amanahnya Umar Abdul Aziz?

Semoga bukan saja pentadbir negara bermuhasabah, kita yang mentadbir keluarga dan diri juga harus bermuhasabah. Mari menyeluruhi tatakelola pemerintahan Umar Abdul Aziz dalam diri kita!

Setengah Berisi, Setengah Kosong?

Judul: Setengah Berisi, Setengah Kosong? Penulis: Parlindungan Marpaung   Penerbit: PTS Millennia   Tahun: 2008   Harga: RM25   Bil. mukasurat: 272

Buku ini merupakan hadiah dari seorang teman akrab, Zarif, lebih setahun lalu sempena ulangtahun kelahiran saya (baru sekarang membacanya!). Mirip buku motivasi Chicken Soup for the Soul yang popular di Barat. Kandungannya adalah anekdot-anekdot, catatan pengalaman ringkas, dan juga lelucon-lelucon yang disertakan dengan pengajarannya yang tersendiri mengikut perspektif penulis.

Tajuk Setengah Berisi, Setengah Kosong itu memperihalkan aspek yang dipersembahkan melalui anekdot-anekdot yang disertakan. Bermula dari secawan gelas yang diisi separuh dengan air, adakah penonton akan mengatakan gelas itu separuh berisi, atau adakah anda akan berkata ia separuh kosong? ‘Melihat sesuatu melalui sudut pandang berbeza’–inilah yang menjadi inti nasihat yang dikemukakan.

Buku ini dibahagikan kepada lima bahagian. Setiap bahagian terkandung cerita-cerita yang disaduri tema yang sepadan. Bahagian-bahagian itu adalah Kasih Sayang, Komunikasi, Motivasi, Profesionalisme, dan akhir sekali Tingkah Laku. Lebih kurang sepuluh kisah dimuatkan dalam setiap satunya.

Penulis cuba membawa perspektif lain pada kisah-kisah tersebut, yang sesetengahnya pernah kita dengar atau baca. Saya juga mendapati ada anekdot yang pernah saya terima melalui forwarded email, ada yang saya terbaca di majalah-majalah sebagai sisipan jenaka.  Kebiasaannya, cerita yang saya dapat itu dipandang pada sudut jenaka semata-mata. Tetapi penulis mengambil secubit pengajaran bukan sahaja dari penghujung cerita seperti yang kita biasa lakukan.

Kadangkala, penulis mengambil contoh dari tengah kisah yang kecil sifatnya dan mungkin kita lepas pandang, tetapi hakikatnya isu itulah yang mempengaruhi keseluruhan cerita dan memberi pengajaran terbesar.

Saya masih ingat kata-kata teman saya di akhir sebuah program yang saya ikuti tidak lama dulu:

“Jangan pandang apa yang program ini beri pada kita, tetapi fikirkan apa yang telah kita sumbangkan untuk menjayakan program ini!”

Lihat, betapa pentingnya untuk kita memandang dari sudut berbeza! Cara ini membantu kita muhasabah dengan lebih baik.

Penulis Ustaz Hasrizal Abdul Jamil dalam buku terbarunya Secangkir Teh Pengubat Letih ada menyatakan, “Siapa kamu menentukan cara kamu melihat. Kesannya pula ialah, cara kamu melhat menentukan apa yang kamu dapat.” Bermakna, pengajaran-pengajaran yang diekstrak dari sebuah cerita tentunya berbeza mengikut sudut pandang kita.

Tidak semestinya kita terikat dengan penjelasan yang disediakan penulis. Sekiranya ada sudut pandang yang positif dan bermakna buat diri kita untuk dikongsikan dari cerita yang sama, apa salahnya untuk mengambil pengajaran yang berbeza? Setiap orang mempunyai pengalaman hidup yang berbeza-beza, sekaligus menjadikan penerimaan kita terhadap sesuatu peristiwa juga berbeza-beza. Tentunya, semua bergantung pada niat: Apa yang ingin kita cari dari sebuah buku@peristiwa dan sebagainya?

Sayangnya, pengajaran yang dimuatkan tidak dirangkumkan dengan nilai Islami, jauh sekali mengimplementasi dalil-dalil. Mungkin disebabkan penulis ingin meluaskan skop audiens yang membaca bukunya, yakni tidak tertumpu kepada muslim semata-mata. Sebagai sebuah buku motivasi, malah berasal dari Indonesia yang berbilang agama, tidak hairanlah buku ini ditulis seperti sekarang. Tentunya, pembaca tua atau muda boleh membacanya kerana isinya yang bersifat umum.

Buku ini dicadangkan penerbit untuk mereka yang inginkan minda sentiasa positif dan kreatif. Juga bagi mereka yang inginkan inspirasi yang menjadikan anda kekal optimis. Sekiranya anda sememangnya orang yang bersifat begini, mungkin tidak perlu lagi membaca karya ini. Tidak salah membacanya, tetapi saya rasakan masih banyak buku yang lebih baik dan lebih penting untuk diladeni untuk anda yang sudahpun positif.

Sekiranya anda tercari-cari idea untuk memberi penyampaian pada orang lain, mungkin buku ini sesuai. Ustaz Hasrizal sendiri, selalu menggunakan pendekatan cerita-cerita pendek sebegini dan memberi pengajarannya mengikut tema yang disampaikan. Dia juga pernah mencadangkan untuk pembaca mengambil manfaat dari buku ini dalam sebuah artikel di laman sesawangnya yang bertajuk Antara Optimis dan Pesimis.

(Saya juga belum menghabiskan keseluruhan buku ini, cuma menelaah beberapa kisah dari bahagian-bahagian tertentu sahaja!)

Antara kisah yang termuat, Keajaiban 1 Dolar 11 Sen; Setengah Berisi, Setengah Kosong; Telinga Si Ibu; Harga Waktu Ayah; Burung Kanada; Membakar Jambatan; Aku Bukan Ayam; dan lain-lain.

Haru$ Kaya Macam Abdurrahman

Sempena Peraduan Mengulas Buku PTS yang sedang berlangsung sehingga awal Ogos ini, saya sempat membaca naskhah nipis setebal 125 halaman ini. Buku ini diwara-warakan sebagai sebuah bestseller di Indonesia, dan telah terjual melebihi 20,000 naskhah.

Saya Tidak Mahu Kaya Tetapi Harus Kaya (2007)

Aa Gym

PTS Millennia

125 halaman, RM19.

Tentu kita masih ingat fenomena yang pernah melanda negara kita beberapa tahun kebelakangan, tentang skim cepat kaya, peraduan gores dan menang, jana duit dengan blog dan pelbagai lagi teknik-teknik atau jalan untuk meraih wang. Tambah parah apabila rakyat cuba mendapatkan duit dengan cara yang salah, hanya kerana ingin mendapatkan kekayaan sesegera mungkin.

Tetapi harus disedari buku ini tidak termasuk dalam kategori buku-buku yang banyak terbit ketika itu, yakni yang menawarkan teknik-teknik menjana wang, atau cara untuk melabur, berniaga dan sebagainya. Sebaliknya, pembaca dipersembahkan dengan nilai kekayaan yang sebenar dari sudut pandang Islami.

Apa yang mahu disampaikan oleh penulis dalam buku ini adalah jawapan-jawapan kepada persoalan:

  • Mengapa saya harus jadi kaya?
  • Mengapa penulis mengatakan kekayaan itu satu keperluan dan bukan lagi keinginan?
  • Bagaimana cara untuk menjadi kaya menurut perspektif Islami?

Menurut penulis, kekayaan harta sebenar-benarnya hanyalah nilai tambah atau kekayaan bonus selagimana kita mencari terlebih dahulu lima jenis kekayaan. Kekayaan tersebut adalah, kekayaan semangat (idea), kaya input (ilmu), kaya gagasan (pengalaman), kaya ibadat dan akhir sekali kaya hati. Formula kaya ini ditulis sebagai GIGIH + H, setiap huruf pada GIGIH itu melambangkan setiap satu dari lima kekayaan tersebut, dan H di hujung itu adalah kaya harta, bonus bagi mereka yang berjaya mencapai lima kekayaan itu.

Berbanding buku motivasi biasa, bagusnya buku ini kerana penulis mendatangkan dalil-dalil Al-Quran, hadis-hadis, sirah dan juga kata-kata ulama’ yang memberi contoh jelas kepada kita setiap subtajuk yang dipersembahkan.

Selain huraian dalam bentuk teks, sesetengah tajuk, contohnya dalam bab Mengubah Sikap, terdapat ilustrasi dalam bentuk peta minda untuk memudahkan ingatan pembaca dan meningkatkan kefahaman dengan lebih cepat tentang jenis sikap dan kesannya. Perkara yang patut diberi perhatian atau poin-poin yang memberi gambaran utama pula, ditonjolkan dengan tulisan tebal di dalam petak berwarna.

Namun, ada formula yang boleh kita senaraikan sendiri, dan tidak semestinya terikat dengan apa yang disampaikan penulis. Contohnya formula 7B, antaranya, bekerja, belajar, beribadat--semuanya hanya kata kerja yang dimulai dengan awalan be-, jadi tidak salah jika kita melebihkan lagi sifat-sifat yang dirasakan baik, asal tidak bertentangan dengan syariat tentunya.

Sejarah memperlihatkan kita dengan peribadi contoh Abu Bakar dan Abdul Rahman bin Auf yang kaya harta tetapi tetap bersifat zuhud serta qanaah. Bagi mereka harta itu satu nilai tambah semata-mata, dan tidak bermakna sekiranya tidak dimanfaatkan pada jalan dakwah. Bagi mereka, tiada apa-apa pun tidak mengapa, kerana bak kata Abu Bakar, cukuplah bagiku Allah dan RasulNya. Abdul Rahman bin Auf pula menjadi takut dan khuatir, takut-takut hartanya yang banyak diperolehinya dari perniagaan itu menahannya dari memasuki syurga. Sedangkan mereka ini telah dijanjikan syurga!

Kekayaan harta kadang-kadang juga boleh menjadi fitnah, dan menjadi punca kekufuran. Lihat saja pada Qarun. Sebab itulah penulis menekankan aspek rohani sebelum aspek materi. Tidak salah berharta, tetapi sekiranya tiada iman yang membentengi diri dari dikuasai nafsu tamak, tiada gunanya.

Isi yang menarik perhatian saya dalam buku ini adalah tentang pembahagian rezeki. Ada tiga jenis rezeki yang dihuraikan, iaitu rezeki yang dijamin, rezeki yang digantung, dan akhir sekali rezeki yang dijanjikan. Apa dia dan dalilnya, ada di dalam buku ini untuk anda baca.

Mungkin ramai yang sudah tahu dan faham tentang isu ‘hakikat kaya’ ini, tetapi tidak salah membaca naskhah ini bukan? Penulis Zamri Mohamad pernah menguar-uarkan idea yang dilaungkan oleh Takeshi Yoro melalui bukunya Baka no Kabe (Dinding Kebodohan), iaitu “Apabila kita berkata kita sudah tahu, terus dinding kebodohan akan dibina.” Jadi, setiap kali membaca sebuah buku, pastikan kita tidak bersifat skeptikal dan menganggap sudah cukup berilmu. Siapa tahu di dalam buku yang ringkas ini ada secebis ilmu baru yang tidak kedapatan di mana-mana?

Oh ya, jom meriahkan peraduan mengulas buku PTS! Maklumat lanjut boleh dilayari di laman webnya, di sini.

Secangkir Çay Pengubat Letih

Secangkir Teh Pengubat Letih
Hasrizal Abdul Jamil
Galeri Ilmu, 267 halaman, Cetakan pertama 2010.
RM25.00

Buku ini merakamkan ekspedisi di Bumi Turki yang sering dikunjungi penulis sepanjang persinggahan hidupnya di Jordan dahulu (terkandung dalam sebuah buku yang diterbit sebelum ini bertajuk Rindu Bau Pohon Tin, 2009). Cuba ‘melarikan diri’ sebentar mencari damai dari segala macam kerunsingan di tanah Urdun, dia melangkah ke negara jiran dengan sedikit duit simpanan khas.

Nyata, kembaranya tidak sia-sia, apabila takdir menemukan dia dengan seorang pemuda tempatan bernama Fatih yang awalnya tegar ingin mempelajari bahasa Arab. Pertemuan dengan Fatihlah yang menjadikan perjalanan penulis ke Turki sebagai sebuah ekplorasi hati yang memuhasabahkan diri. Bukan sahaja dapat mengikat ukhuwwah dengan Fatih dan teman-teman serta keluarga, tetapi menjangkaui kepada percintaan dengan Islam itu sendiri, juga sejarah jatuh bangun pentas khilafah itu.

Istimewanya buku ini bagi saya adalah kerana perhubungan yang dibina oleh penulis itu sendiri, dengan Fatih dan teman-temannya. Siapa sangka, Fatih merupakan anak kepada seorang Datuk Bandar. Jadi, selain tujuannya menyelongkar bahan sejarah Uthmaniyyah di Turki dan menguasai bahasa tersebut, penulis juga secara tidak langsung jadi begitu cakna dengan politik Turki.

Ironi Bumi Khilafah

Umum mengetahui, kedatangan Mustafa Kemal ke bumi khilafah itu telah memporak-perandakan suasana Turki sehingga sekarang. Justeru institusi politik menjadi wasilah penting dalam membangkitkan kembali syiar Islam di sana. Sejak 1995 penulis diperlihatkan dengan usaha-usaha Parti Refah yang membawa seruan Islam. Walaupun ramai penduduk tempatan sudah mula sedar dan menyokong padu seruan Islam ini, masih ada pihak yang terus-terusan berusaha mematikan usah-usaha ini. Ini terbukti apabila Parti Refah telah ditutup, dan tahun-tahun berikutnya juga menyaksikan penutupan beberapa lagi parti politik. Walaupun pihak yang cuba membawa Islam berganti parti demi parti, dan usaha-usaha dilakukan secara terselindung atau terbatas, semua jalan seakan sudah tiada.

Ketika itu bukan sahaja jalan mengembangkan Islam melalui siasah sudah dihalang, perkembangan sosial juga menjadi terbatas. Pusat-pusa tahfiz Al-Quran ditutup, Fakulti Teologi yang menjadi pusat pertahanan Islam juga ditekan, malah tudung dan hijab juga disekat. Pelajar-pelajar muslimah perlu memilih antara tudung atau peperiksaan, antara iman ataupun impian.

Ironi bukan, apabila Turki merupakan sebuah negara pengeluar tudung!

Namun dalam rumitnya situasi yang melanda negara tersebut, penulis sentiasa mengekalkan sisi optimisnya. Pembaca diberi bandingan dan teguran yang lantang tetapi berhalus tentang hikmah terjadinya semua ini. Saya sendiri mengakui ini merupakan satu petanda baik—Islam semakin berkembang. Semenjak zaman nabi lagi, ketika Islam berkembang, tentangan menjadi semakin hebat dari hari ke hari. Sekarang pun, Recep Tayyip Erdogan sebagai Perdana Menteri Turki pun telah membungakan harapan buat penduduk Islam Turki dan dunia seluruhnya. Lihat saja reaksinya saat Mavi Marmara (ekspedisi Freedom Flotilla ke Gaza) diserang oleh tentera Israel tidak lama dulu. Bukankah ini petanda? Siapa tahu, Islam yang jatuh di bumi Turki, akan bangkit semula bermula di sini nanti?

Pelajaran Sebuah Kembara

“Siapa kamu menentukan cara kamu melihat,” kata penulis. “Kesannya pula ialah, cara kamu melhat menentukan apa yang kamu dapat,” pesannya lagi.

Tidak hairanlah apabila kita membaca travelog tarbiah ini, kita dibawa menyusuri perspektif yang sangat berbeza dari pandang sisi yang selalu dihebahkan oleh orang lain. Kadangkala kita selalu dikaburkan dengan penceritaan yang berat sebelah—menuduh Turki lupa diri kerana mahu menyertai gagasan Kesatuan Negara-negara Eropah (EU), menanggapi Turki sudah jauh tersasar dari Islam kerana dasar sekularisme yang dipraktikkan, dan pelbagai macam tuduhan—yang dibuat tanpa mengalami fenomena yang berlaku di negara itu dengan mata kepala sendiri. Pembaca yang betul-betul faham dengan pesan penulis yang disebut sebelum ini (juga tercatat pada belakang buku ini) akan nampak bagaimana cara yang boleh dikatakan terbaik dalam menilai sesebuah perkara sekalipun ia nampak buruk seburuk-buruknya pada pandangan mata. Eksoterik tak semesti menggambarkan keseluruhan keadaan esoterik!

Pelajaran dari bumi Turki juga tentunya akan membawa kita menyusuri sejarah hebat khilafah Uthmaniyyah yang pernah bertapak di sini. Antara bingkisan yang paling mengesankan penulis, yang dimuatkan dalam naskah ini, adalah kisah Khalifah Sultan Abdul Hamid II. Sedikit petikan, khalifah ini banyak disalahtafsir sebagai seorang yang ‘dayus’ terhadap Islam dan mengatakan dialah pemula penjatuh pemerintahan Islam di Turki. Fakta sejarah yang terjadi sebenarnya, terlalu berbeza. Baginda sendiri yang mencatat peristiwa sebenar yang terjadi terhadapnya dan keluarga di dalam diarinya. Kisah lanjut boleh dibaca dalam bab Menjejak Tragedi Penggulingan Sultan Abdul Hamid II.

Begitulah kembara, segala-galanya yang dialami hanya akan dihargai apabila kita merasai apa yang dilalui oleh ummah selama ini, apabila kita benar-benar perlukan penyelesaian untuk kesulitan ummah dan diri sekalipun. Benarlah, güneşte yanmayan gölgenin kıymetini bilmez.

Orang yang tidak pernah dibakar panas mentari, mustahil menghargai rimbun berteduh!

*************

Untuk menambahbaik buku ini, saya fikir adalah sangat baik sekiranya disertakan glosari di bahagian belakang buku. Walaupun sesetengah frasa atau ayat dalam bahasa Turki yang digunakan sudah diperjelaskan dalam ayat yang sama, glosari pada saya sangat membantu lebih-lebih lagi buat pembaca yang minat untuk mempelajari bahasa-bahasa asing.

“Carilah damai untuk diri sendiri. Khususnya untuk anak muda berjiwa da’i, yang sering hidupnya berfikir tentang orang lain, hingga lupa kepada perlunya diri dibelai damai oleh minda, emosi, dan spiritual yang kemas antara diri dan Ilahi… hanya kamu dan Dia… tiada yang ketiga.”

Jasad manusia fitrahnya lemah, adakala akan tetap terasa lelah. Oleh itu, carilah secangkir kelegaan buat menghilangkan kegersangan itu sepanjang kembara di bumi Allah ini… siapa tahu, buku inilah secangkir ‘teh’ yang kalian cari-cari?

Perikatan Adiwira Miliki Ciri Antarabangsa

Kali terakhir saya membaca komik tempatan adalah pada tahun 2000. Sejak dari tahun itu hingga kini, jangan kata membaca, hendak menyentuh kulit komik pun saya tidak mahu. Ini semua gara- gara ibu saya melarang membaca komik.

Beliau menyatakan cerita komik penuh imaginasi dan rekaan semata- mata. Lebih mendukacitakan, komik menggunakan bahasa tunggang- langgang sehingga merosakkan bahasa itu sendiri. Continue reading