Category Archives: motivasi

The Road Not Taken: Satu Pandangan

Teringat sewaktu sekolah dahulu, seorang guru meminta saya membacakan puisi ini di hadapan kelas. Rasa terpaksa tetapi kemudian ia menjadi antara puisi yang saya gemari sehingga sekarang.

The Road Not Taken

 

Two roads diverged in a yellow wood,

And sorry I could not travel both

And be one traveler, long I stood

And looked down one as far as I could

To where it bent in the undergrowth;

 

Then took the other, as just as fair,

And having perhaps the better claim

Because it was grassy and wanted wear,

Though as for that the passing there

Had worn them really about the same,

 

And both that morning equally lay

In leaves no step had trodden black.

Oh, I marked the first for another day!

Yet knowing how way leads on to way

I doubted if I should ever come back.

 

I shall be telling this with a sigh

Somewhere ages and ages hence:

Two roads diverged in a wood, and I,

I took the one less traveled by,

And that has made all the difference.

Banyak perkara yang berlaku hanya kerana saya memilih jalan yang bukan menjadi pilihan ramai. Persoalan timbul, adakah memilih jalan yang bukan pilihan ramai sesuatu yang bagus.

And sorry I could not travel both

And be one traveler, long I stood

And looked down one as far as I could

Dua jalan berbeza, namun kedua-duanya menjanjikan kehidupan juga. Mungkin berlainan dan mungkin juga sama. Dua jalan berbeza yang menyebabkan saya perlu memilih salah satu.

“Ah, kau mungkin mahukan cabaran dalam hidup,” seorang rakan berkata kepada saya.

Saya membaca semula:

Though as for that the passing there

Had worn them really about the same

Kedua-dua jalan mempunyai cabaran dan liku yang hampir sama. Tidak kira cara belajar yang bagaimana yang kau pilih, di universiti atau terus di alam bisnes dan juga kerjaya. Jadi isu ingin cabaran dalam kehidupan tertolak sama sekali. Kedua-duanya punya gula dan kopi, ada manis dan ada juga pahitnya.

Tiada jalan yang mudah. Setiap satunya akan mematangkan diri dengan pengalaman yang berbeza.

I took the one less traveled by,

And that has made all the difference.

Persoalan yang ditimbulkan dalam puisi ini adalah adakah ia adalah sesuatu yang bagus untuk ‘take the road less traveled’?

Ramai terus mentafsir dua baris akhir ini sahaja kerana sudah menjadi kebiasaan dalam mana-mana puisi – dua baris akhir puisi adalah kesimpulan yang kuat untuk puisi tersebut. Menjadi kebiasaan mana-mana penulis untuk menamatkan puisi dalam dua baris akhir.

Jadi ramai menyimpulkan memilih jalan yang less traveled sebagai sesuatu yang bagus. Cuma ramai yang terlepas pandang mungkin, Robert Frost juga menyatakan pada baris-baris sebelumnya:

I shall be telling this with a sigh

Somewhere ages and ages hence

Apabila kita semakin dewasa, kita akan mengenang kembali pilihan yang kita ambil. ‘Sigh’ di sini boleh dinterprestasi sebagai penyesalan, mungkin juga self-satisfaction (sigh of contentment), dan mungkin kepiluan.

Saya lebih suka merenung semula tiga rangkap awal selepas membaca dua baris hujung itu. Tidak kira jalan mana yang pilihan kita, buatlah pilihan selepas kita ‘melihat’ dengan betul kedua-dua jalan tersebut.

Memilih sesuatu yang tidak menjadi pilihan ramai orang tidak menjadikan kita lebih hebat. Ia sekadar menjadikan diri berbeza. Ya, itu sahaja – berbeza.

Anda Adalah Hero Dalam Kisah Anda!

Acapkali kita dihidangkan dengan filem-filem yang menjadikan lelaki paling kacak dan gagah sebagai hero. Selain rupa paras yang tampan ala-ala Shaheizy Sam, watak hero dalam sesebuah filem dijadikan taruhan utama untuk menarik bilangan penonton yang ramai, menonton filem tersebut. Hal ini sedikit sebanyak mempengaruhi acuan minda penonton yang hanya akan mengagung-agungkan sifat-sifat hero yang plastik. Pak Jabit? Jangan haraplah dia akan dijadikan hero!

Po Yang Mengagumkan!
Kalau anda menonton filem animasi Kungfu Panda, pastinya dimensi pemikiran anda berubah apabila melihat Beruang Panda yang berbadan besar dijadikan hero untuk filem ini! Po merupakan seekor beruang panda yang sangat teruja untuk mempelajari kungfu. Walaupun mempunyai tubuh badan yang gempal, Po tidak pernah menjadikan ia sebagai satu penghalang untuk beliau mempelajari kungfu.

Walaupun dipandang rendah oleh rakan-rakannya diawal pemilihannya menjadi Dragon Warrior, Po tidak pernah berputus asa malah minat yang mendalam untuk mempelajari kungfu dimaksimumkan. Akhirnya beliau berjaya dan menjadi hero dalam cerita tersebut.

Kalau diukur dari aspek fizikal, mungkin Po dilihat sebagai seorang ‘loser’ dari pelbagai sudut. Tetapi Po memilih untuk memaksimumkan kelebihannya sehingga kekurangan dirinya tenggelam dan tidak kelihatan.

Jadilah seperti Po!
Po adalah tauladan terbaik bagi mereka yang sering berasa rendah diri dengan kekurangan diri sendiri. Mengapa perlu memberi fokus pada kekurangan diri anda sehinggakan potensi yang sepatutnya digilap menjadi malap? Jadilah seperti Po! Serlahkan potensi yang anda miliki untuk berjaya dalam hidup. Mengapa memilih untuk jadi orang biasa sedangkan kita diciptakan untuk menjadi yang luarbiasa!

Anda Adalah Hero Dalam Kisah Anda!
Ubah dimensi pemikiran anda. Ambil sehelai kertas dan catatkan kelebihan serta potensi yang ada pada diri anda. Serlahkan potensi tersebut semaksimum mungkin dan jadilah hero dalam kisah anda!

10 Tip Bagaimana Untuk Gembira Di Tempat Kerja

- Saudara perlu menyukai bos saudara, setidak-tidaknya hormatilah beliau.

- Saudara harus suka dan menghormati pekerja lain.

- Cuba elakkan pertengkaran antara rakan sekerja. Sekiranya wujud sesuatu isu, cari jalan diplomatik untuk menyelesaikannya.

- Tunjukkan contoh yang baik kepada rakan sekerja yang lain. Ini dapat meningkatkan produktiviti kerja dan diri sendiri.

- Senaraikan langkah-langkah yang saudara boleh lakukan untuk menjadi produktif dan lakukan ia dengan SEGERA.

- Fokus pada kerja yang penting dan habiskannya dahulu sebelum memulakan kerja yang lain.

- Elakkan borak kosong yang boleh memakan masa terlalu lama.

- Lakukan kerja-kerja persendirian di luar waktu kerja.  

- Dapatkan tidur atau rehat yang cukup untuk mengembalikan tenaga yang telah hilang.

- Bersyukurlah dengan apa yang ada. Bersyukurlah kerana saudara mempunyai pekerjaan berbanding mereka yang masih menganggur atau sedang mencari pekerjaan.

Penulis ialah penulis buku ‘Perisik Kota Saba’ dan ‘Tambah Duit dengan Kerja Part-Time’. Kini beliau berkhidmat sebagai penerbit rancangan di radio TRAXXfm di samping bergiat aktif sebagai penulis bebas.

Bagaimana menjadi orang yang disukai?

Bagaimanakah ingin menjadi orang yang disukai ramai? Adakah dengan menjadi popular dapat membuatkan orang menyukai kita? Adakah dengan berkata-kata sahaja sudah mampu membuat orang terpesona dengan kita? Ataupun adakah dengan sentiasa menolong orang sehingga membiarkan diri kita ‘dipijak’ mampu memikat hati orang lain? Di sini saya lampirkan sebahagian tip-tip untuk membuat orang menyukai diri kita. Diharapkan ia dapat memberi manfaat kepada semua. Continue reading

Di Sebalik Marahnya Abah

Zass!

Satu sebatan hanger baju tepat mengena punggung.

Kadang semasa kita kecil kita tidak tahu apa sebenarnya yang ibu bapa kita hendak. Kita buat silap, dimarahi dan kemudian menangis. Dan kadang kita cuba mempersoalkan tindak-tanduk ibu bapa.

“Ah, kenapa kena sebat pula. Saja hendak cuba-cuba buat telur goreng pun salahkah?” bisik hati kecil saya yang baru berusia 8 tahun ketika itu.

Silap saya termakan telur goreng yang disediakan untuk adik saya yang bersekolah sesi pagi. Oleh itu, saya cuba menggantikannya dengan telur goreng baru sebelum saya ke sekolah pada sesi petang. Takut-takut adik saya makan tidak berlauk. Maka saya pun cuba-cuba menggoreng sendiri.

Sedikit demi sedikit baru saya faham bahayanya dapur gas jika tersalah guna. Semasa disebat kita mempersoalkan tindakan ayah kita. Selepas kita mengambil masa memikirkannya, barulah tindakannya dapat difahami.


Dari situ saya belajar perlunya belajar selok-belok sesuatu barang itu sebelum menggunakannya.

Nak aiskrim!

Dalam lesu

Kau masih tersenyum

Walaupun terlihat duka tangisanmu

Merindukan warna kedamaian

Menanti bahagia beraja di situ

“Abah, nak aiskrim!”

Setiap kali kami adik-beradik mahukan sesuatu apabila berjalan di kedai atau pasaraya, pasti ditengkingnya. Ada ketikanya ditamparnya terus kami. Kami pasti berat mulut untuk meminta apa-apa lagi selepas itu.

Dan saya menjadi seorang yang tidak pandai meminta-minta apa-apa daripada ibu bapa. Apa yang dapat, itulah yang akan digunakan.

Dari situ saya belajar jika inginkan sesuatu, cuba dapatkannya sendiri.

Macam budak-budak

Pada tahun 1996, kami berpindah ke Cheras, Selangor. Ketika itu saya baru sahaja masuk darjah tiga. Daripada sekolah kampung berpindah ke sekolah bandar, SK Bandar Tun Hussien Onn. Daripada loghat Terengganu, saya terpaksa berkomunikasi cara orang Kuala Lumpur.

Sehinggalah saya darjah lima, saya masih memakai beg yang designnya hanya sesuai untuk murid tadika. Hampir setiap hari diejek oleh kawan-kawan. Maklumlah kalau dahulu di sekolah kampung, semua murid saling hormat barang-barang kawan. Tetapi di situ, bila nampak barang yang tidak ikut standard mereka terus diejeknya.

“Azree, kalau hendak ada perempuan suka kenalah pakai seluar tempah. Tak macho pakai ‘seluar cerut’,” kata Presiden BADAR SMKA SHAMS semasa saya tingkatan tiga.

“Baguslah kurang perempuan suka. Tak adalah nanti rasa hendak bercouple,” balas saya. Terus terdiam dia yang ketika itu saya mendapat tahu yang dia bercouple timbalannya sendiri.

Sampailah saya masuk sekolah menengah. Masih tetap dengan beg yang designnya sedikit kebudak-budakan. Malah sehingga seluar yang dipakai pun ada orang persoalkan. Bukan setakat pelajar biasa malah sampai kepada Presiden Badan Agama menegur. Salahkah pakai seluar murah?

Dari situ saya belajar ertinya merendah diri dan bersyukur dengan apa yang ada.

Kita menyambung kerja ibu dan bapa

Khabarkan kepada mereka

Masih ada cinta mewangi di sini

Dan khabarkan kepada dunia

Damai yang kau cari

Akan kau miliki

Pasti….

Semasa kecil seringkali kita dimarahi atas perkara-perkara kecil. Apabila besar remaja, kita dimarahi atas perkara yang berkait dengan tanggungjawab. Semakin saya membesar semakin banyak saya belajar daripada abah. Walau kadang kecil hati tiap kali dimarahi kerana ketika itu saya tidak memahaminya.

Ingatlah menjadi Muslim umpama menjadi kain putih. Pada peringkat awal, ibu bapalah yang berusaha mencoraknya dengan warna kesejukan, keceriaan, ketegasan dan cinta. Pada peringkat seterusnya, terserah kepada kita untuk memikirkan corak-corak yang terhasil dan menyambung usaha itu.

Semoga kita menjadi Muslim yang mencorakkan ummah.


Nota: Entri ini ditulis pada 3 Jun 2009 juga untuk menyokong pertandingan yang dianjurkan seorang sahabat di sini.

Nota 2: Lirik nasyid ‘Bicara Hatiku’ oleh kumpulan NICE.

Bersahabat Ertinya Bercinta

Sudah menjadi fitrah setiap sesuatu perkara yang baik pasti ada perkara sebaliknya yang mengekori. Ada yang halal, maka akan ada yang haram. Ada yang gembira, akan ada ketikanya duka. Ada yang dicintai, dan ada yang dibenci. Ada pertemuan, maka akan ada perpisahan.

Begitu halnya dalam bersahabat. Ada waktunya kita gembira dan ada waktunya kita bersedih. Ada waktunya kita mencintai dan ada waktunya kita menjauhi. Dan dalam kebersamaan itu akan hilang rasa khuatir dan takut. Musnah rasa gelisah dan resah jika kebersamaan dan persahabatan itu ditaut dengan iman dan taqwa.

Foto ihsan saudara Taqi

“Sesungguhnya orang-orang mukmin itu bersaudara. Maka damaikanlah di antara kedua saudaramu. Bertaqwalah kepada Allah agar kamu mendapat rahmat.” (Al-Hujurat: 10)

Teringat saya akan kenangan semasa di sekolah dahulu. Dalam bersahabat bukan setiap masa kita gembira. Ada kalanya juga kita bertengkar. Apa yang penting setiap pertengkaran itu membuatkan kita lebih memahami satu sama lain. Lebih menghormati hak-hak masing-masing.

Bersahabat Itu Ertinya Bersatu

Teringat kata-kata Ustaz Khazri semasa saya bersekolah dahulu, “Sahabat paling rapat dengan kamu adalah sahabat yang tidak kisah soal duit. Andai kata sahabatnya kesusahan dalam soal duit, terus dihulur dompetnya kepada sahabatnya.”

Begitu katanya tentang sahabat. Ustaz Khazri Osman yang saya kenal memang bukan seorang yang lokek. Andai kata ada pelajar di asrama mempunyai masalah, dia akan cuba membantu sebolehnya. Meskipun masalah kewangan.

Nabi Muhammad s.a.w pernah berkata, “Perumpamaan orang-orang yang beriman yang saling cinta-mencintai, sayang-menyayangi, dan bantu-membantu di antara satu sama lain umpama sebuah jasad. Apabila salah satu anggota terasa sakit, seluruh jasad akan berasa sakit.”

Saat Nabi Muhammad s.a.w dan Abu Bakar berhijrah dari Mekah ke Madinah, mereka berhenti bermalam di Gua Tsur. Abu Bakar meminta nabi tunggu sebentar di luar. Abu Bakar tahu Gua Tsur banyak dihuni oleh binatang-binatang berbisa. Abu Bakar membersihkan ruang gua tersebut dan mencarikkan kain bajunya untuk menutup beberapa lubang kecil.

Selepas dipersilakan masuk oleh Abu Bakar, Nabi Muhammad s.a.w masuk dan membaringkan tubuhnya di atas tanah dengan kepalanya berbantalkan paha Abu Bakar. Tidak lama kemudian, Nabi Muhammad s.a.w tertidur.

Tiba-tiba keluar seekor ular dari lubang yang tidak ditutupi kain. Terus, Abu Bakar menutup lubang itu dengan kakinya. Lantas ular tersebut pun menggigit kaki Abu Bakar. Beliau tidak mahu menggerakkan pehanya kerana tidak mahu tidur Nabi Muhammad terganggu.

Beliau merasakan kesakitan yang amat tetapi tetap tidak berteriak, tidak mengaduh dan tidak menggerakkan kakinya. Abu Bakar menahan kesakitan sehingga tubuhnya lemah dan akhirnya beliau menangis. Titisan air matanya jatuh ke muka Rasulullah sehingga Baginda terbangun.

Inilah pengorbanan seorang sahabat yang sejati. Yang rasa cinta kepada sahabatnya begitu tinggi. Lebih daripada rasa cinta kepada dirinya sendiri.

Bersahabat Perlu Sentiasa Bersedia

Walau kadang-kadang timbul persoalan di hati saat sesuatu tidak berjalan sebagaimana yang dikehendaki. Walau kadang ada rasa tidak puas saat tidak mendapat apa yang diharapkan. Tapi, bersahabat tetap memberikan kita sesuatu yang penting iaitu tentang kehidupan.

Setiap yang hidup pasti akan meninggal dunia. Setiap pertemuan pasti adanya perpisahan.

Kita perlu sentiasa bersedia. Bersedia untuk berpisah. Itu fitrahnya. Soalnya cuma tinggal bila, mengapa dan bagaimana.

Nyalakan Nyali

“Azree, sila baca muka surat seterusnya kuat-kuat,” Puan Haznah memberi arahan.

Walaupun hanya disuruh membaca, kaki dan tangan saya sudah menggeletar. Sejak dari sekolah lagi saya sangat takut untuk bercakap di hadapan orang ramai walaupun hanya disuruh membaca sahaja.

Pernah satu ketika, saya perlu untuk menguruskan mesyuarat persatuan kerana saya merupakan setiausaha persatuan tersebut. Kebetulan pula, Presiden persatuan kami tidak hadir. Apabila majlis dibuka dengan Al-Fatihah, terus saya serahkan tugasan mesyuarat kepada rakan lain.

Apabila saya menuntut di Matrikulasi Universiti Islam Antarabangsa, saya merasakan perasaan takut saya itu perlu dibuang jauh-jauh. Lebih-lebih lagi apabila saya memegang jawatan dalam mainboard Persatuan Kejuruteraan.

Pernah saya dimarahi oleh penolong saya sendiri kerana asyik meminta dia menguruskan mesyuarat.

Perlu Beranikan Diri

Sehinggalah suatu hari, saya terlibat dalam program kesihatan dan kesedaran tentang isu Palestin untuk penduduk di Keramat. Malam sehari sebelum program bermula, saya terdengar beberapa orang AJK persembahan sedang berbincang.

“Haa, ada apa-apa lagi yang boleh kita tambah untuk persembahan esok nanti?” soal Nasri yang merupakan ketua bagi bahagian persembahan.

Penulis terlibat mengendalikan satu program untuk staf Proton

Saya menyusup dalam perbincangan mereka.

“Sekarang kita sudah ada berapa persembahan untuk esok nanti?” soal saya sambil memandang kepada Nazri.

“Setakat ini kita sudah ada nasyid, pantomin dan pidato ringkas berkaitan Palestin. Enta nak buat persembahan jugakah?” balas Nazri.

Bagai pucuk dicita ulam mendatang.

“Ana rasa ana nak baca sajak esok hari, boleh?” tanya saya pula.

“Enta boleh baca sajakkah?”

“Belum cuba belum tahu,” balas saya yang tidak pernah langsung baca sajak. Malah tidak tahu bagaimana cara-cara mendeklamasi sajak.

Malam itu saya mencari-cari sajak dalam simpanan laptop. Akhirnya terjumpa sajak pendek, ringkas tetapi penuh makna yang ditulis oleh sahabat maya saya, Hafez Iftiqar.

Esoknya apabila tiba giliran nama saya disebut oleh jurumajlis, tiba-tiba terasa langkah kaki saya longlai. Melangkah satu demi satu menaiki anak tangga pentas.

Dalam kepala saya hanya satu sahaja saya setkan, ‘baca sampai habis baru boleh turun pentas’.

Tangan kiri memegang kertas yang bertulis sajak dan tangan kanan memegang mikrofon. Kedua-duanya menggeletar dengan kuat. Dan saya membaca sajak tersebut sampai habis.

Sebaik sahaja saya turun dari pentas, seorang sahabat menepuk bahu saya dan berkata, “Bagus kau baca sajak tadi. Sampai ada beberapa orang makcik di kerusi hadapan mengeluarkan air mata. Feeling beb sampai terketar-ketar…”

Adus.

Komunikasi Dua Hala

Sejak dari hari itu, saya memberanikan diri untuk menguruskan mesyuarat sendiri dan mendeklamasi sajak di beberapa program Palestin.

Juga mengikuti seorang sahabat juga seorang mentor iaitu Husaini Hussein memberi ceramah motivasi kepimpinan di sekolah-sekolah.

Ketika pertama kali saya menyampaikan ceramah untuk pelajar sekolah, seorang pelajar menegur saya, “Kenapa tangan abang menggeletar?”

Apabila ditegur oleh pelajar tersebut, terus tangan saya tidak menggeletar lagi. Dan dari situ saya belajar kita tidak boleh bercakap seorang diri sahaja di hadapan.

Sebenarnya ketakutan saya untuk bercakap di hadapan adalah kerana merasakan takut jika apa yang saya sampaikan tidak diterima oleh audien. Jadi dengan mengamalkan komunikasi dua hala, saya tidak akan berceramah tetapi memberikan peluang audien berceramah kepada saya.

Banyakkan Memberi

Kemudian apabila saya masuk ke kampus utama Universiti Islam Antarabangsa, saya cuba menjauhkan diri daripada aktiviti-aktiviti persatuan. Saya cuba menganjurkan bengkel blog secara percuma dan dibantu oleh Pakdi yang sanggup memberikan ruang SM Learning secara percuma juga untuk bengkel tersebut.

Saya percaya jika kita banyak memberi, rezeki untuk kita itu akan datang sendiri. Jadi jangan takut  untuk selalu memberi kerana Tuhan sentiasa ada untuk menjaga kita.

Nyalakan nyali dan terus mara.